KUALA LUMPUR — Pengeluar gula bertapis terkenal Malaysia, MSM Malaysia Holdings Bhd memperoleh keperluan gula mentahnya bagi suku pertama 2020 dari India, antara pengeluar gula utama dunia.

Dalam kenyataan, MSM menjangkakan ketibaan tiga penghantaran di antara Januari dengan Februari, membawa kira-kira 130,000 tan gula mentah bernilai hampir RM200 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata lebih 900,000 tan gula mentah telah diimport pada 2019 dari beberapa negara pengeluar utama termasuk India.

“Kami akan terus mengimport gula mentah dari negara pengeluar utama seperti India, Brazil, Thailand dan lain-lain, di samping memastikan kos gula mentah konsisten dalam penanda aras NY#11 serta memilih pembekal gula mentah supaya dapat memastikan kualiti produk akhir kami terpelihara,” katanya.

MSM berkata kualiti boleh terima dan kos pengangkutan kompetitif bagi gula mentah yang dihasilkan di India memberikan nilai tambah dan kelebihan kepada syarikat dalam memastikan bekalan mampan gula mentah berkualiti terbaik untuk semua kemudahan penapisan.

Elemen itu juga memudahkan pemerolehan gula mentah secara cekap sebagai sebahagian strategi penjimatan kos dan penambahbaikan operasi, menurut syarikat itu.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here