Pelajar Melayu mahir tarian singa tarik perhatian masyarakat Terengganu

0
372
Kumpulan Tarian Singa Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong yang diketuai oleh Muhamad Fahmi Mamat, 11, (tiga, kanan) menjalani latihan ketika ditemui di sekolah tersebut hari ini. Kebiasaannya tarian singa dipersembahkan oleh masyarakat Cina di negara ini namun sekumpulan murid Melayu dari sekolah itu turut meraikan kepelbagaian budaya dengan menguasai tarian tersebut. Kumpulan yang ditubuhkan sejak Julai tahun lepas itu kini semakin mendapat perhatian masyarakat Cina di negeri ini apabila turut mendapat undangan mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian dan sambutan Tahun Baru Cina. Kewujudan kumpulan tarian singa tersebut turut melakar sejarah buat sekolah itu kerana ia adalah yang pertama seumpamanya untuk kategori sekolah kebangsaan di negeri Terengganu yang diwakili oleh murid Melayu. --fotoBERNAMA

MARANG — Jika kebiasaannya tarian singa dipersembahkan oleh masyarakat kaum Cina di negara ini namun sekumpulan murid berbangsa Melayu dari  Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong di sini meraikan kepelbagaian budaya dengan menguasai tarian tersebut.

Mereka yang menerima bimbingan jurulatih Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu, Chai Teck Tee sejak Julai tahun lepas kini semakin mendapat perhatian masyarakat Cina di negeri ini apabila turut mendapat undangan mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian dan Tahun Baru Cina.

Guru Besar SK Jerong, Salmah Abd Rahman berkata kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang murid itu ditubuhkan setelah dipelawa oleh Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu sebagai salah satu program kemenjadian murid dan silang budaya.

“Kewujudan kumpulan tarian singa ini melakar sejarah buat sekolah ini kerana ia adalah yang pertama seumpamanya untuk kategori sekolah kebangsaan di negeri Terengganu setakat ini.

“Lebih istimewa kerana walaupun sekolah ini tiada seorang pun murid berbangsa Cina, namun kami mampu menonjolkan budaya yang mana dapat menyemai semangat perpaduan dari usia kecil,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan tarian singa SK Jerong di sini semalam.

Tujuh ahli kumpulan tarian singa itu ialah Muhammad Syafiq Aiman Surin, 12; Muhamad Faiz Mamat, 11, dan kembarnya Muhamad Fahmi, 11; Tun Ahmad Ashraf Dzulkarnain Tun Asnan, 10; Nur Aleesya Balqis Musa, 11; Nur Faqihah Nuriesya Mohd Fairul Nizam, 10, dan Siti Syaza Liyana Osman, 11.

Mereka berbangga dan seronok kerana dapat mempelajari satu lagi kesenian budaya masyarakat majmuk di negara ini.

Siti Syaza Liyana berkata kepuasan selepas membuat persembahan di depan penonton yang ramai sukar digambarkan terutama apabila penonton terkejut mengetahui kumpulan tarian singa itu dipersembahkan oleh murid Melayu.

“Kami berlatih sekali dalam seminggu dan sentiasa bekerjasama dalam satu kumpulan. Contohnya, bila seorang tak dapat hadir latihan, ahli kumpulan lain akan mengajar teknik baharu sampai pandai,” katanya.

Pasangan kembar Muhamad Faiz dan Fahmi pula berkata mereka sering berlatih di rumah terutama gerakan akrobatik yang agak sukar seperti mengangkat tubuh untuk menampakkan gerakan singa itu ‘berdiri’ serta memastikan tarian mereka sempurna mengikut rentak paluan gendang.

“Bila ada masa terluang, kami juga sering berbincang satu kumpulan kerana jurulatih mahu kami terus mahir agar dapat menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan pula tidak lama lagi,” kata mereka.

Sementara itu Chai berkata ini adalah pengalaman pertamanya melatih semua murid Melayu dalam satu kumpulan tarian singa kerana kebiasaannya ahli kumpulan terdiri daripada murid berbangsa Cina.

“Mulanya memang agak sukar juga kerana tarian singa bukan budaya Melayu jadi mereka agak kekok mempelajari pelbagai teknik tarian namun dalam masa tiga bulan sahaja berlatih, mereka sudah berjaya menguasai kemahiran dalam tarian ini.

“Ini disebabkan mereka mempunyai semangat tinggi, minat, disiplin dalam latihan dan bakat yang akhirnya menjadikan mereka sekumpulan murid yang hebat dan mampu mempersembahkan tarian singa yang mengagumkan,” katanya.

Ketika ini hanya dua sekolah sahaja yang mempunyai kumpulan tarian singa di Terengganu iaitu SK Jerong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Sin Chone di Dungun.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here