Sekolah Cina tapi murid semua Melayu

2
32203

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

SEPINTAS pandang, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Man hanyalah sebuah sekolah biasa seperti SJKC lain.

Namun sekolah yang terletak di Batu Kurau, Perak ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Walau pun ia sekolah Cina, tidak ada seorang pun murid yang belajar di situ daripada kaum Cina.

Sebaliknya daripada 82 murid di selolah itu, 81 orang adalah murid Melayu. Seorang lagi murid berketurunan Thai.

Pecahan murid ialah Tahun Satu 15 orang, Tahun Dua 15, Tahun Tiga 19, Tahun Empat 14, Tahun Lima 10 dan Tahun Enam sembilan orang.

Guru besar, Puan Leow Chai Kuan ketika dihubungi memberitahu, selain beliau ada 11 orang guru mengajar di sekolah tersebut.

Mereka mengajar subjek Pendidikan Islam, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Matematik dan Sains.

Menurut Leow, sekolah itu masih kekurangan seorang guru bahasa Cina.

Beliau memberitahu, SJKC Kwong Man yang dibuka pada 1924 adalah dalam kategori Sekolah Kurang Murid (SKM).

Katanya, walau pun dahulu ramai murid di sekolah itu daripada keturunan Cina, faktor perpindahan penduduk Cina ke bandar besar seperti Taiping atau Kamunting menyebabkan jumlah murid Cina menyusut.

Pada masa sama, semakin ramai murid Melayu memasuki sekolah tersebut sehingga pada hari ini murid Melayu memenuhi sekolah berkenaan.

Ini amat menarik kerana di kawasan berkenaan terdapat dua buah sekolah kebangsaan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kurau dan SK Toh Sajak.

Namun ramai murid Melayu memilih untuk memasuki SJKC Kwong Man untuk membolehkan mereka
belajar, menulis dan berkomunikasi dalam bahasa Cina.

Menurut Leow, walau pun pembelajaran dalam bahasa Cina, untuk membolehkan murid-murid cepat memahami, guru-guru menterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Katanya, secara umum murid-murid yang benar-benar berminat mampu menulis, memahami atau berkomunikasi dalam bahasa Cina asas selepas tamat Tahun Enam.

Beliau menyifatkan murid-muridnya sebagai berdisiplin dan mencipta kejayaan apabila memasuki sekolah menengah.

“Guru-guru juga sangat bagus dan berdedikasi membimbing murid,” kata Leow.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

2 COMMENTS

  1. Saya seorang bekas guru dan saya mengajar ramai pelajar2 dari pelbagai kaum. Pelajar2 saya kebanyakannya bersopan dan menghormati cikgu, terutamanya Melayu.

    • Saya bekas murid di Sk Batu Kurau tahun 1999 dan 2000. Teruja dengan keunikkan SJKC KWONG MAN. Bangunan unik sekolah tersebut masih berdiri dengan teguh. Tahniah Guru Besar SJKC KWONG MAN. 👍👍👍

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here