Untung besar, rugi pun bukan kepalang buat FAM

0
262
HARIMAU Malaya terus menagih 'Pemain Ke-12' apabila menyambung Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, menentang Vietnam pada 31 Mac ini.

Oleh KAKI BANGKU

KALAU besar periuk, maka besar jugalah keraknya.

Angka kehadiran penonton terbesar dicatat dalam perlawanan Harimau Malaya dengan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November lalu iaitu 75,454 orang.

Angka ini yang terbesar sepanjang 2019 yang merangkumi 11 perlawanan tempat sendiri atau ‘Kandang Harimau Malaya’ sama ada perlawanan kompetitif mahupun persahabatan antarabangsa tahap 1.

Muatan stadium yang dibina pada 11 Julai 1998 itu ialah 87,411 orang tetapi dihadkan atas sebab-sebab keselamatan memandangkan ‘perseteruan’ penyokong kedua-dua pasukan negara itu.

Skuad Tan Cheng Hoe menang 2-0 menerusi dua rembatan kencang sayap kanannya, Safawi Rasid. Satu menerusi sepakan bebas dan satu lagi daripada kelalaian kapten Sang Garuda.

Tiga mata itu melonjakkan Aidil Zafuan Radzak & Co. ke anak tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sambil mengekori Vietnam yang belum kalah sejak kempen 5 September lalu.

Namun kejayaan itu menuntut harga mahal yang perlu dibayar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Walhal ‘orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getahnya.’

Mulanya, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menuntut ganti rugi sebanyak RM11,000 pada 25 November lalu angkara kerosakan 44 tempat duduk yang dilakukan para penyokong Indonesia.

Kemudian pada awal bulan ini, FAM selaku tuan rumah perlawanan itu dikenakan denda lebih tinggi, CHF50,000 (RM210,102) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat ‘layangan’ suar, bunga api dan lain-lain objek oleh penonton.

Perlawanan kedua Malaysia yang menyaksikan kekalahan sulungnya, 2-1 kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan itu, mencatat angka kehadiran kedua terbesar terutamanya ‘Ekor Harimau Malaya’ dan Ultras Malaya.

Sejumlah 43,200 hadirin menyaksikan gawang Farizal Marlias dibolosi dua jaringan Ali Mabkhout biarpun Syafiq Ahmad meletakkan tuan rumah di hadapan dengan tandukan gol seawal 36 saat babak pertama perlawanan.

Kehadiran ketiga terbesar di stadium ini buat skuad negara pula ialah ketika menewaskan Thailand 2-1 dalam kelayakan itu pada 14 November menerusi jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh.

Ketiga-tiga perlawanan kelayakan ini dikenakan tiket berharga RM30 atau 40 bagi tempat terbuka dan RM50 hingga RM60 bagi grandstand (berbumbung).

Sebanyak 14,542 penonton menghadiri stadium ini ketika Malaysia melayani kunjungan Tajikistan dan menang 1-0 menerusi jaringan Safawi pada 9 November iaitu angka kehadiran terbesar bagi sebuah perlawanan persahabatan antarabangsa tahap 1.

Antara faktor angka yang menggalakkan ini ialah pemberian diskaun harga tiket oleh FAM antara 50 hingga 62.5 peratus sehingga cuma RM10 sekeping sedangkan sebelum ini RM20.

Angka kehadiran terkecil pula dicatat pada perlawanan persahabatan yang merakamkan kemenangan 2-0 Harimau Malaya terhadap Nepal pada 2 Jun iaitu 3,797 orang, lebih rendah berbanding ketika tuan rumah membelasah Timor Leste 7-1.

Sebanyak 4,244 penonton tetap setia menyokong Harimau Malaya ‘beraya gol sakan’ di Bukit Jalil biarpun perlawanan pertama pusingan pertama kelayakan itu berlangsung pada Hari Raya Aidilfitri ketiga.

STATISTIK PENONTON PERLAWANAN HARIMAU MALAYA DI STADIUM NASIONAL, BUKIT JALIL SEPANJANG 2019

Persahabatan antarabangsa (Tahap 1)
2 Jun: Malaysia 2 Nepal 0 – 3,797 orang
30 Ogos: Malaysia 0 Jordan 1 – 14,063 orang
5 Oktober: Malaysia 6 Sri Lanka 0 – 7,293 orang
9 November: Malaysia 1 Tajikistan 0 – 14,542 orang

Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023
Pusingan pertama play-off
7 Jun: Malaysia 7 Timor Leste 1 – 4,244 orang
11 Jun: Timor Leste 1 Malaysia 5 – 12,776 orang
Malaysia menang agregat 12-2

Pusingan kedua (Kumpulan G)
10 September: Malaysia 1 UAE 2 – 43,200 orang
14 November: Malaysia 2 Thailand 1 – 38,735 orang
19 November: Malaysia 2 Indonesia 0 – 75,454 orang

* Angka kehadiran Piala Airmarine (Mac) Malaysia lawan Singapura dan Afghanistan tidak dapat diperoleh.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here