Diogo julang JDT benam Dibba 1-0

0
317
LA'VERE Corbin-Ong (jersi ungu) cuba menembusi kepungan tiga pemain Dibba Al-Fujairah.

Oleh KAKI BANGKU

PENYERANG import dari Brazil, Diogo Luis Santo membuktikan nilainya sebagai antara pemain termahal Liga Malaysia 2020 yang bermula 28 Februari ini, cukup berbaloi buat majikannya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia yang pernah dinilai lebih RM5 juta dalam pasaran perpindahan, menjaringkan gol tunggal untuk memastikan kemenangan sulung Harimau Selatan terhadap kelab Amiriah Arab Bersatu (UAE), Dibba Al-Fujairah 1-0.

Semalam, Stadium Kelab Fujairah menyaksikan gol kemenangan skuad Benjamin Mora itu yang muncul seawal minit keempat perlawanan kedua siri perlawanan persahabatan pramusim Jelajah UAE mereka.

Namun JDT yang juga juara trebel Liga M 2019, membuka tirai jelajah ini, Isnin lalu dengan sentuhan kecundang 2-0 kepada kelab Riga FC dari Latvia di Stadium Sevens, Dubai hasil gol-gol Roman Debelko dan Felipe Brisola pada minit ke-35 dan 88.

Riga FC bukan calang-calang apatah lagi dengan latar belakangnya yang bergelar juara Liga 1 Latvia selain berpengalaman bersaing pada peringkat Kelayakan Liga Juara Kesatuan Bola Sepak Eropah – UEFA (UCL) 2019/2020.

Ujar pemilik Si Biru Merah, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman Twitter HSTV: “Saya gembira dengan apa yang saksikan. Banyak peningkatan terutamanya barisan simpanan dan pemain muda.

“Pengalaman yang bagus dapat lawan dengan kelab kuat dari Eropah. Ada kelainan JDT kali ini. Saya terkejut dan teruja. Syabas kepada semua pemain dan jurulatih. Pendedahan paling tinggi,” katanya yang juga Tunku Mahkota Johor.

Ketika menentang Riga FC, JDT menampilkan kesebelasan utama yang terdiri daripada Farizal Marlias, Nazmi Faiz Mansor, La’Vere Corbin-Ong, Safawi Rasid, S. Kunanlan, Fadhli Shas dan Harris Harun, kapten mereka dan pasukan kebangsaan Singapura.

SYAMER Kutty Abba (kiri) mahu merampas bola daripada tentangan penjaga gol Dibba Al-Fujairah.

Menghadapi Dibba Al-Fujairah pula, Mora didapati memasukkan kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Radzak di posisi bek tengah Harimau Selatan sambil dua lagi pemain negara, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba masuk selaku pemain gantian.

JDT berada di UAE sehingga 30 Januari sebagai persediaan menghadapi misi mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dengan Kedah serentak sepak mula Liga Super 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 28 Februari.

Namun pada 12 Februari, Harimau Selatan akan terbang ke Jepun bagi menghadapi saingan Kumpulan G Liga Juara Asia (ACL) 2020 untuk menentang Vissel Kobe dan menanti kunjungan Guangzhou Evergrande (China) di kandang sendiri, seminggu kemudian.

Siri ketiga pramusim Jelajah UAE akan menemukan mereka dengan skuad kebangsaan Turkmenistan pada Ahad ini di Stadium Jebel Ali Coe, Dubai diikuti kelab Slovakia yang kini menghuni tempat kedua Liga Utama Slovakia 2019-2020, MSK Zilina di Stadium Sevens, Dubai (29 Januari).

Sebuah lagi kelab Liga Divisyen Satu tuan rumah, Emirates FC akan melayani anak-anak buah Mora, sehari kemudian di Stadium Kelab Emirates, Dubai sebagai menutup kempen jelajah pramusim JDT.

Sebelum ke UAE, mereka mencapai kemenangan 4-0 terhadap pendatang baharu Liga Perdana 2020, Kuching FA 4-0 dan kelab Singapura, Home United dalam dua perlawanan pramusim pada 11 dan 14 Januari lalu di Stadium Sultan Ibrahim.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here