Malang tak berbau tetapi alkohol ya

0
339

Oleh ARRAZAQ NAZRI

SHAH ALAM-“Malang tidak berbau”. Inilah yang sering kali diungkapkan dalam kempen keselamatan jalanraya di media massa.

Ungkapan ini mengingatkan bahawa musibah boleh menimpa sesiapa sahaja dan tiada siapa yang dapat menjangkanya sekalipun mangsa memiliki ijazah dalam bidang Pengurusan Risiko.

Sebagai bekas Pengamal Undang-Undang yang pernah mengendalikan kes tuntutan sivil melibatkan mangsa kemalangan jalanraya, membuktikan siapa yang bersalah antara dua atau lebih pihak bukanlah perkara mudah.

Tambahan kes pelanggaran berlaku di garisan putih di tengah-tengah jalan yang boleh menyebabkan kes tersebut tidak boleh pergi jauh untuk tuntutan ganti rugi.

Kes kemalangan jalan raya di Jalan Kebun di Shah Alam yang menjadi tular menyaksikan pemandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai mabuk telah melanggar tiga penunggang motosikal sehingga menyebabkan seorang maut.

Soalnya bagaimana kes sebegini dapat dielakkan daripada terus berlaku pada masa depan ketika gejala mabuk akibat meminum minuman keras bebas dilakukan 24 jam sehari.

Dalam kes lain di Tawau Sabah dua tahun lalu, empat orang terbunuh dan seorang cedera selepas dirempuh sebuah kereta Vios yang dipandu oleh pemandu mabuk ketika melepak di kawasan parkir Pusat Komersial BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun pada awal pagi.

Isu yang sama turut menyaksikan seorang pegawai bank di Klang yang baharu meraikan sambutan hari lahirnya maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan seorang pemandu mabuk berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) pada November tahun lalu.

Kes pemandu mabuk sebenarnya telah lama diperkatakan dan kini statistik akan terus meningkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa sesi Dewan Rakyat pada Mac tahun lalu berkata, Kementeriannya sedang mengkaji cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bertujuan meningkatkan hukuman ke atas pemandu mabuk di bawah pengaruh alkohol yang terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan kematian..

Cadangan pindaan itu bagaimanapun memerlukan pandangan dan penglibatan pelbagai agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Ketika ini, Seksyen 41 Akta 333 hanya memperuntukan sesiapa yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Peruntukan undang-undang yang agak ringan tersebut dan sewajarnya dipinda dengan segera berikutan meningkatnya penggunaan alkohol secara berleluasa hari ini, sekali gus bakal menyaksikan lebih banyak kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Selain mengadakan pindaan undang-undang, pihak berkuasa juga perlu memperkasakan usaha-usaha penguatkuasaan dan bukan bertindak secara bermusim.

Mungkin ujian pernafasan boleh dilakukan di lebih banyak kawasan berisiko, kerana benar malang sememangnya tidak berbau tetapi mulut pemandu yang mabuk memang boleh dihidu.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here