Piala Raja Thailand, Kejohanan Dunia hala tuju libasan negara 2020

0
344
SKUAD negara masih di takuk lama sepanjang 2019, apakah nasibnya berubah dalam 2020?

Oleh KAKI BANGKU

HANYA ada dua misi antarabangsa yang dianggap terpenting buat skuad sepak takraw sepanjang takwim kejohanan 2020 yang mendapat restu Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Asia (Astaf).

Seperti saban tahun, Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand akan kembali menggamit skuad Abd. Talib Ahmad ini dalam edisi ke-35 di Bangkok dari 20 hingga 27 September.

Agak pelik kali ini penganjur utamanya, Persatuan Takraw Thailand (TAT) dikatakan hanya mahu melangsungkan empat acara termasuk kemuncaknya, regu berpasukan yang menawarkan trofi tertua antarabangsa yang diperkenalkan pada 1984 itu.

Turut dipertandingkan ialah antara regu dan gelung namun yang peliknya, pengenalan cabang kuadran berpasukan (regu berempat lelaki dan wanita serentak) sambil menggugurkan beregu yang kerap mewarnai Sukan SEA dan Asia.

Memandangkan 2020 bukanlah tahun yang berlangsungnya Sukan Asia mahupun Sukan SEA (tahun ganjil), Piala Raja Thailand bakal kekal sebagai kejohanan paling berprestij dan menjadi tumpuan negara-negara ahli gabungan Istaf-Astaf.

PERTEMBUNGAN pasukan antara negeri dalam Piala Emas Khir Johari terus menjadi agenda tumpuan 2020.

Sebanyak 23 daripada 36 negara ahli gabungan yang beraksi di Bangkok, tahun lalu ialah Thailand, Singapura, Taiwan, Filipina, Indonesia, India, Korea Selatan, Laos, Jepun, Malaysia, Myanmar, China, Australia, Brunei, Vietnam, Jerman, Iran, Pakistan, Iraq, Kemboja, Brazil, Nepal dan Oman.
Satu lagi pendedahan buat skuad negara ialah Kejohanan Dunia di Goa, India dari 24 hingga 28 November yang mempertandingkan acara antara regu dan beregu lelaki dan wanita.

Tahun lalu, Istaf terpaksa menunda kejohanan ini pada Oktober atas sebab kesuntukan masa apatah lagi kebanyakan negara lebih bertumpu kepada persediaan akhir menghadapi Sukan SEA Ke-30 di Subic, Filipina.

Buat kali pertamanya dalam sejarah sejak 2008, sepak takraw pantai tidak lagi menjadi sebahagian program Sukan Pantai Asia (ABG) pada edisi keenamnya di Sanya, China dari 28 November hingga 6 Disember ini.

“Kebanyakan badan Olimpik atau majlis sukan negara anggota enggan membiayai kos penyertaan atlet sepak takraw pantai ke ABG. Kali ini tuan rumah mengenakan kos AS$59 (RM240.30) sehari bagi setiap atlet,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader.

ABG 2008 dan 2016 masing-masing di Bali, Indonesia dan Da Nang, Vietnam pernah menyaksikan sebutir gangsa buat Malaysia yang hanya diwakili gabungan pemain Polis Diraja Malaysia-Terengganu dan skuad pelapis remaja Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

“Sepak takraw pantai walau bagaimanapun, tetap akan dilangsungkan dalam dua kejohanan gantian, Sukan Pantai Karachi di Karachi, Pakistan dari 13 hingga 17 Mac dan Kejohanan Pantai Asia Kedua di Qingdao, China (9 hingga 14 Julai),” katanya yang juga Presiden Astaf.

Di arena dalam negara anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pula, fokus para peminat tanah air akan lebih terarah kepada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 dari 11 hingga 20 Jun bagi kategori belia bawah 21 tahun.

Turut menjadi kemuncak saingan tempatan ialah Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-56 di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 Julai yang berkemungkinan besar, menyaring lebih ramai bakat baharu untuk diserapkan ke dalam skuad negara.

SABAN tahun skuad negara (jersi hitam) di belakang Thailand, bilakah badi kecundang itu bakal diakhiri Talib & Co.?

TAKWIM PERSEKUTUAN SEPAK TAKRAW ANTARABANGSA (ISTAF) 2020

13-17 Mac: Sukan Pantai Karachi – Karachi, Pakistan
pantai

19-23 Mac: Kejohanan Asia – Dhaka, Bangladesh
antara regu, kuadran (lelaki)

6-13 April: Kejohanan Belia Bawah 21 Tahun Asia – Taiwan
regu (lelaki dan wanita)

26 Mei-2 Jun: Kejohanan Asia – De Hong, Yunan, China

3-6 Jun: Piala Jemputan China – Jinhua, Zhejiang, China

9-14 Julai: Kejohanan Pantai Asia – Qingdao, China
pantai

20-27 September: Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 – Bangkok, Thailand
regu berpasukan, antara regu, gelung, kuadran campuran

18-24 Oktober: Kejohanan Terbuka Paris

20-22 November: Kejohanan Negara-negara Komanwel – Goa, India
antara regu, beregu (lelaki dan wanita)

24-28 November: Kejohanan Dunia – Goa, India
antara regu, beregu (lelaki dan wanita)

1-6 Disember: Kejohanan Antarabangsa – Subic, Filipina
antara regu, kuadran (lelaki dan wanita)

23-27 Disember: Kejohanan Asia Piala Presiden Indonesia –
kuadran, regu (lelaki dan wanita)

TAKWIM PERSATUAN SEPAK TAKRAW MALAYSIA (PSM) 2020

21-23 Februari: Terbuka Songkhla

17-19 April: Kejohanan Piala Datuk Bandar Hatyai

11-20 Jun: Sukan Malaysia Ke-20 – Johor

16-19 Julai: Kejohanan Terbuka Krabi

23-26 Julai: Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-56 – Kuala Lumpur

* Hanya kejohanan besar terpilih

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here