Tiada campur tangan politik dalam urusan jual beli THP, kata Mujahid

0
339
FOTO: NSTP/DANIAL SAAD.

KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan bahawa beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada agensi di bawah portfolionya, termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) menjalankan urusan mereka tanpa campur tangan politik.

Katanya TH Plantations Berhad (THP), yang merupakan anak syarikat TH, turut diberi kepercayaan serupa.

“TH hanya memiliki 72% saham dalam THP dan saya langsung tidak mencampuri sebarang urusan jual beli melibatkan THP.

“Ini kerana, saya berkeyakinan tinggi pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat ini daripada terus mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid merujuk kepada kenyataan ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada satu sidang media di ibu negara semalam, yang mendesak Mujahid menyatakan pendirian berhubung keputusan Lembaga Pengarah THP menjual 14 anak syarikat yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 76,975 hektar yang dibangkitkan baru-baru ini.

Menjelaskan bahawa transaksi jual beli adalah perkara biasa dalam syarikat perniagaan, Mujahid melahirkan rasa hairan dengan tindakan Asyraf Wajdi dan bekas perdana menteri Najib Razak membangkitkan isu jual beli tanah yang melibatkan THP.

“Sedangkan, persoalan yang perlu ditanya adalah mengapa mereka membeli tanah-tanah ini dulu sehingga tanah ini terpaksa dijual dan THP mengalami kerugian?.”

Beliau berkata, THP kini berada di landasan yang benar dengan menjalankan urusan pentadbiran yang telus tanpa sebarang campur tangan politik.

Selain itu katanya, beliau mengalu-alukan tindakan Asyraf Wajdi membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan, sekiranya mempunyai bukti kukuh wujudnya penyelewengan dalam urusan jual beli tanah THP.

-Bernama

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here