JDT tumbangkan Turkmenistan 2-1

0
279
DIOGO Luis Santo (kanan) menjaringkan gol kemenangan JDT menewaskan Turkmenistan 2-1 di Dubai, semalam. - Foto Facebook JDT

Oleh KAKI BANGKU

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakukan sesuatu yang tampak mustahil pada mulanya!

Ketika pasukan kebangsaan Sri Lanka bahkan Korea Utara kecundang, Sang Harimau Selatan pula berjaya menumbangkan Turkmenistan 2-1, semalam.

Kedua-dua pasukan itu tumpas 2-0 dan 3-1, tahun lalu kepada pendahulu Kumpulan H Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebaliknya JDT yang menjinakkan skuad penghuni ranking ke-129 dunia itu, 2-1.

Sekalipun sekadar perlawanan persahabatan, kemenangan di Stadium Jebel Ali Coe, Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu tetap kian melonjakkan semangat dan keyakinan JDT menjelang sepak mula Liga Juara Asia (ACL) dan Liga M, bulan depan.

Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2019, Safawi Rasid membuka tirai pesta juara trebel Liga M 2019 itu dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39.

NAZMI Faiz Mansor (kiri) semakin mendapat kepercayaan Benjamin Mora di jentera perancang JDT. – Foto Facebook JDT

Keceriaan JDT diragut seketika dengan gol penyamaan pemain Turkmenistan, Metdayev Akmammet pada minit ke-53 namun Diogo Luis Santo memastikan kemenangan JDT, juga menerusi penalti, minit ke-61.

Antara yang turut membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan semalam ialah kapten, Harris Harun, penjaga gol Farizal Marlias selain Nazmi Faiz Mansor, Fadhli Shas dan bek tengah dan kiri Harimau Malaya, Aidil Zafuan Radzak dan La’Vere Corbin-Ong.

Inilah kemenangan kedua Harimau Selatan dalam siri persahabatan pramusim jelajah UAE selepas menumpaskan kelab divisyen dua tempatan, Dibba Al-Fujairah 1-0, Khamis lalu tetapi tewas pada aksi sulung, 2-0 kepada kelab Latvia, Riga FC, tiga hari terdahulu.

Bagi Turkmenistan, perlawanan persahabatan ini menjadi sebahagian daripada persediaan mereka sebelum menyambung kempen kelayakan itu dengan bertandang ke Korea Selatan pada 26 Mac ini.

Mereka sudah kalah dua kali dalam saingan Kumpulan H termasuk kepada lawan, 2-0 di Ashgabat dan Lebanon 2-1 di Beirut pada 10 September dan 10 Oktober lalu.Negara Asia Tengah ini belum pernah bertemu Harimau Malaya (di ranking ke-154 dunia) dalam perlawanan persahabatan atau pertandingan.

Kini tinggal dua lagi aksi persahabatan buat skuad Benjamin Mora sebelum mereka mengakhiri kempen pramusim pada Khamis ini. Dua hari lagi, JDT akan berdepan kelab MSK Zilina yang menghuni tempat kedua Liga Utama Slovakia 2019/2020 di Stadium Sevens, Dubai diikuti kelab Divisyen Satu tuan rumah, Emirates FC di Stadium Kelab Emirates.

Termasuk dua perlawanan persahabatan pramusim di venue baharu, Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor Bahru, JDT setakat ini sudah mencatat dua lagi kemenangan, 4-0 terhadap Kuching FA dan Home United (Singapura) dengan Diogo, penyerang import dari Brazil sudah mengumpul empat gol.

Juara bertahan Liga Super sejak 2014 dan Piala Malaysia 2019 ini, akan mempertahankan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah dengan pemenang Piala FA, Kedah serentak sepak mula Liga Super 2020 di SSI pada 28 Februari.
Namun skuad Mora terlebih dulu perlu bertandang ke Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun bagi membuka kempen Kumpulan G ACL, menentang Vissel Kobe pada 12 Februari.

Seminggu kemudian, JDT menyambungnya dengan menanti kunjungan Guangzhou Evergrande (China) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

Dalam perkembangan lain, laman sosial facebook Johor Southern Tigers melaporkan, pelancaran rasmi jersi baharu JDT akan dilakukan pada 1 Februari ini di Dataran Bandar Raya Johor Bahru.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here