Kuota haji: Bukti hubungan masih mantap

0
392

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

BAKAL jemaah haji yang masih menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci Mekah pasti teruja dengan berita tambahan kouta haji yang diberikan kepada Malaysia pada musim haji 2020 atau 1441 Hijrah.

Khabar gembira ini dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, sekembalinya dari Mekah baru-baru ini.

Dengan pertambahan ini, jumlah kuota haji Malaysia ialah 31,600 orang berbanding 30,200 sebelum ini.

Sekalipun tambahan kuota 1,400 ini masih belum dapat memenuhi keperluan jemaah yang masih berbaris panjang menunggu giliran, ia sekurang-kurangnya memberi ruang tambahan untuk ke tanah suci.

Ia juga merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha mendapatkan lebih banyak kuota untuk rakyat Malaysia sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk negara ini.

Sebelum ini berdasarkan jumlah penduduk seramai 30 juta orang dengan kuota 0.01 peratus, seramai 30,200 jemaah berpeluang ke tanah suci.

Dalam lawatan ke Mekah dan perbincangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi, Malaysia melalui Mujahid telah meminta jumlah ini ditambah.

Ini kerana menurut statistik terbaharu Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), jumlah rakyat Melaysia terkini ialah 31.7 juta orang.

Pihak berkuasa Arab Saudi menerima dan mengakui statistik yang dikemukakan oleh Malaysia dan bersetuju menambah kuota jemaah.

Jumlah kuota ini masih tetap dalam lingkungan 0.01 peratus seperti yang dipersetujui oleh negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Jelas penambahan kuota ini dicapai hasil usaha bersungguh-sungguh kerajaan melalui Tabung Haji (TH) untuk memastikan lebih ramai jemaah menunaikan haji.

Adalah satu hakikat bahawa barisan yang menunggu untuk ke tanah suci terus bertambah setiap tahun.

Jika tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan barisan panjang ini nescaya tempoh menunggu akan menjadi semakin lama.

Dalam hubungan ini, usaha yang dilakukan oleh TH wajar diberi pujian kerana ia membuktikan kesungguhan TH memberi khidmat terbaik kepada bakal jemaah.

Pastinya juga kejayaan TH ini dibantu oleh faktor hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi sejak sekian lama.

Sekalipun digembar gemburkan kononnya Arab Saudi tidak gembira dengan Malaysia kerana menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember 2019, di samping pambatalan Pusat Kemanan Antarabangsa Raja Salman, ia ternyata tidak mengeruhkan hubungan kedua-dua negara.

Penambahan kuota haji ini adalah bukti bahawa hubungan kedua-dua negara tetap mesra seperti biasa.

Arab Saudi juga sudah lama mengakui dan memuji keunggulan TH dalam mengendalikan urusan jemaah haji Malaysia.

Negara itu menyifatkan TH sebagai sebuah agensi terbaik dan sistematik dalam urusan haji yang tidak terdapat di negara-negara lain.

Faktor inilah juga yang menyebabkan Arab Saudi tidak bermasalah untuk menambah kuota jemaah haji untuk Malaysia kerana yakin dengan kemampuan negara serta jemaah Malaysia yang tidak mendatangkan masalah kepada tuan rumah.

Justeru bakal jemaah perlulah sentiasa menjaga nama baik TH dan negara apabila terpilih ke tanah suci. Jadilah tetamu yang sentiasa menghormati dan menghargai tuan rumah.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here