Agrobank sasar pertumbuhan pinjaman RM1 bilion pada 2020

0
378
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub menyaksikan pertukaran dokumen Kerjasama Strategik antara Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Ahmad Shahril Mohd Sharif (duduk, kanan) dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (duduk, kiri) hari ini. Turut sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (dua, kanan), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kiri), Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh (dua, kiri) dan Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar (kanan). --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR  — Agrobank yang sebelum ini dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia Bhd menyasarkan pertumbuhan pinjaman sekurang-kurangnya RM1.0 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2020 berbanding pemberian pinjaman sebanyak RM11.75 bilion tahun lepas.

Pemangku presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar berkata sejak lima tahun lepas, bank pembangunan pertanian milik kerajaan itu mencatat pertumbuhan purata menghampiri 10 peratus, walaupun sektor perbankan tumbuh kira-kira tiga hingga empat peratus.

“Bank ini akan terus memberi tumpuan untuk memperkukuh rantaian nilai pembiayaan bagi menyokong pelbagai aktiviti berkaitan pertanian daripada huluan, utama dan hiliran.

“Sebagai bank yang memahami keperluan sektor pertanian negara, kami juga komited untuk memperkasa kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) menerusi pembiayaan mikro yang berstruktur berdasarkan objektif 3A iaitu kebolehsampaian, ketersediaan dan kemampuan.

“Setakat ini, Agrobank mempunyai 11 program mikro-pembiayaan di seluruh negara merangkumi penanaman padi, pembajaan cili, selain sawit, lembu tenusu, nenas dan penternakan burung walet,” katanya kepada Bernama di luar majlis menandatangani kerjasama dengan Petronas di sini hari ini.

Menerusi perkongsian itu, Petronas memperuntukkan RM100 juta yang akan diuruskan oleh Agrobank untuk membiayai usahawan mikro B40 dalam sektor pertanian dan berasaskan pertanian.

Katanya kerjasama itu akan memperluaskan lagi capaian Agrobank untuk meningkatkan akses pembiayaan dalam kalangan komuniti berasaskan pertanian.

Khadijah berkata perjalanan bank itu untuk menyemai prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dalam perniagaan mereka adalah bertepatan, malah turut berkongsi persamaan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk memperkasa ekonomi golongan B40 dan menambah baik status sosial kumpulan itu di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal mudah diurus pada 4.3 peratus, mencatat prestasi lebih baik berbanding angka dua digit yang diperoleh pada lima hingga 10 tahun lepas.

“Sebagai bank pembangunan, kami akan terus menyasarkan pertumbuhan pinjaman, namun, pada masa sama akan mengutamakan kualiti aset,” katanya.

Beliau berkata 85 peratus daripada dana tersebut adalah daripada penyimpan, manakala selebihnya daripada pendanaan kerajaan.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here