Kerajaan India jual 100% syarikat penerbangan negara

0
356
PHOTO: Wikimedia Commons/ José Luis Celada Euba [CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0)]

KERAJAAN India bakal jual kesemua 100 peratus kepentingan dalam Air India untuk keluar daripada perniagaan catat kerugian besar dan secara teknikal dianggap sudah muflis.

Pembeli dari seluruh dunia diberi tarikh bidaan sehingga 17 Mac untuk kemuka tawaran masing-masing, menurut dokumen penjualan rasmi yang dikeluarkan di ibu kota New Delhi, semalam.

Usaha kerajaan pusat yang sebelum itu cuba jual 76 peratus kepentingannya dalam syarikat penerbangan negara tersebut sejak 2018 lepas dihentikan setelah gagal tarik minat pelabur.

Ditubuhkan pada 1932, Air India memiliki rangkaian 42 destinasi antarabangsa dan 56 domestik, serta 13,629 petugas termasuk 1,884 juruterbang dan 4,028 krew kabin, setakat akhir tahun lalu.

Ia mempunyai 121 buah pesawat pelbagai model dan merupakan ahli penerbangan global Star Alliance sejak 2014 dengan kuasai 50 peratus operasi penerbangan antarabangsa di India.

Berdasarkan pelan pelupusan itu, pemilik baharu perlu ambil alih keseluruhan hutang berjumlah 233 bilion rupee (RM13.3 bilion) dan tanggungan liabiliti 572 bilion rupee (RM32.6 bilion).

Ini meliputi Air India dan operator penerbangan tambang rendah, Air India Express serta separuh saham Air India dalam syarikat kargo dan pengurusan darat, Air India SATS Airport Services.

Namun perniagaan lain syarikat iaitu Air India Engineering Services, Air India Air Transport Services, Airline Allied Services dan Hotel Corporation of India tidak terlibat dalam penjualan.

Sebaliknya ia kemudian bakal dipindahkan oleh pihak kerajaan India untuk dijadikan sebuah syarikat berasingan yang akan dikenali selepas ini sebagai Air India Assets Holding Limited.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here