Oleh ARRAZAQ NAZRI

KEBIMBANGAN penularan Koronavirus baharu yang bermula di Wuhan, China kini menyaksikan pelbagai negara mulai menyekat dan juga lebih drastik lagi bertindak menghantar pulang rakyat Republik itu yang berada di negara mereka.

Tindakan itu adalah wajar kerana sehingga ini, terdapat 1,771 kes baharu di China dan Malaysia juga turut terpalit.

Semalam Kerajaan Malaysia bertindak menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

Bagaimanapun, keputusan itu dianggap lambat dan tidak menyeluruh.
Benar tidak dinafikan bahawa keputusan Putrajaya menggantung visa kemasukan pelancong dari China bukan keputusan yang mudah, terutamanya Malaysia sedang menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 sejak awal Januari lalu untuk membantu merancakkan lagi ekonomi negara .

Namun begitu, kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa terdapat tindakan diambil dan kerajaan sangat serius mengenainya.

Sekadar memberikan keyakinan bahawa pemantauan diambil masih belum cukup untuk menlenyapkan kebimbangan orang ramai kerana Koronavirus ini tidak mempunyai sebarang penawarnya lagi.

Contohnya, tindakan kerajaan Indonesia bahawa memaklumkan tentang penyediaan 100 hospital untuk menangani penular itu dan penyediaan lojistik di seluruh pintu masuk Indonesia terutama di 19 daerah yang menerima penerbangan langsung dari China sedikit sebanyak mampu untuk meredakan rasa cemas.

Kerajaan perlu dilihat seperti nampak serius dan menyeluarkan maklumat secara jelas kepada rakyat negara ini supaya mereka lebih prihatin dan tidak mengambil mudah.

Sebelum ini, ramai yang mempersoalkan kenapa mangsa Koronavirus dari China sebelum ini ditempat di hotel dan dihantar ke Kuala Lumpur untuk pemantuan, sehingga menimbulkan kebimbangan berlaku penularan.

Rasa cemas tidak akan berlaku sekiranya maklumat yang tepat dan jelas disebar luaskan kepada orang ramai dan sekali gus bakal boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani permasalahan yang sedang berlaku.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini, Kerajaan Malaysia mempunyai pengalaman dalam menangani wabak penyakit berjangkit sebelum ini bukan tiket untuk mengambil mudah dalam kes ini.

Benar Malaysia telah berjaya mengawal penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Ebola dan Virus Nipah yang pernah terjadi sebelum ini tetapi diharapkan ia tidak menyebabkan kerajaan dan orang ramai alpa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Semua pihak terutamanya kerajaan perlu sentiasa bersiap siaga dengan keadaan yang diluar jangka sambil mengharapkan sesuatu tindakan yang jauh lebih drastic perlu diambil dan tiada nyawa yang bakal melayang.

Perkara itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerjasama semua pihak termasuk orang ramai dalam memastikan mereka mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan mengambil langkah-langkah untuk melindungi dan menjaga kesihatan diri . Pastinya kita tidak mahu sudah terantuk baru tengadah.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here