AIMAN bersama ayahnya, seorang pelumba kereta, Badrul Hisham Abdul Rahim yang akan menemaninya jika ada waktu terluang.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

UMURNYA baru tujuh tahun. Namun tatkala melihat kakinya melangkah masuk dengan penuh yakin dan bergaya ke restoran yang dijanjikan, tampak jelas tahap keyakinannya yang amat tinggi dan tidak mustahil dia mampu mencapai impiannya untuk berjaya dalam pelajaran dan bidang lakonan.

Meskipun namanya masih baru tidak mustahil dengan bakat dan penampilannya, suatu hari nanti namanya mampu sebaris dengan mereka yang terdahulu daripadanya.

Betapa tidak dalam usia semuda itu, dia begitu yakin apabila ditanya tentang watak dan perwatakannya dalam drama 13 episod ” Keringat Firdausi” yang kini sedang dalam proses penggambaran.

Itulah Muhammad Aiman Badrul yang memegang watak Haziq, kisah seorang kanak-kanak autisme yang akan ditayangkan di RTM pada Jun ini.

Menceritakan perwatakannya sebagai Haziq, Aiman walaupun ditemani ayah dan dua abangnya, tetapi dia mampu menjawab setiap soalan yang ditanya tanpa bantuan mereka!

AIMAN bersama Jay Nazif sebagai abangnya dalam “Keringat Firdausi.”

Ketika ditanya bagaimana Haziq ‘ditangannya’, sambil menanggalkan Raybannya dan digantung di leher kemeja-T birunya, Aiman menjelaskan;

“Haziq ni autisme. Dia tak boleh cakap dan tak boleh panggil mak, ayah atau abang dia.

“Sebelum ‘start shooting’, Aiman dah mula buat macamana pergerakan Haziq yang autisme. Tangan dan jari-jari Haziq sentiasa bergerak dan mata pandang kat satu arah.

“Selalunya Haziq cool aje. Tetapi bila Haziq mengamuk (tantrum) memang mama dan ayah susah nak kontrol.”

Tindakan Haziq yang kadangkala ganas (tantrum)membimbangkan ayah dan mamanya kerana dia mungkin akan mencederakan diri sendiri!

Tetapi begitulah perwatakan Haziq, seorang kanak-kanak autisme yang ditangani Aiman dengan baik.

Sebelum memasukki set penggambaran, Aiman dihantar ke Insani Autism Academy selama dua hari bermula dari 9pagi hingga 12 tengahari.

Di situ, Aiman melihat karakter dan pegerakan kanak-kanak autisme sebayanya yang amat terbatas. Dan setelah dua hari, Aiman mampu menangani watak Haziq dengan berkesan.

Apabila ditanya susah atau tidak melakonkan watak Haziq tanpa dialog, tanpa teragak-agak Aiman berkata, “Susah!”

Muhammad Aiman, anak bungsu dalam keluarga empat beradik yang semuanya lelaki sebelum berlakon dalam “Keringat Firdausi” terlebih dulu dikenali dalam beberapa iklan yang telahpun disiarkan di TV.

Antara iklan yang menampilkan Aiman ialah maevi, etiqa, Didik PRO, Faber Castell dan yang terbaru Proton X-70 (belum disiarkan).

“Berlakon iklan senang. Sekejab aje. Tetapi drama walaupun sampai malam Aiman suka. Cuma bila habis lambat, setelah Babah (ayah) masukkan aje Aiman dalam kereta, Aiman terus tidur,” cerita Aiman.

Dalam drama 13 episod ini, Aiman terlibat dalam lapan episod dan sebanyak 100 babak yang memakan masa penggambaran selama 14 hari bermula 21 Januari.

Iklan maevi iaitu applikasi yang boleh memantau penggunaan elektrik di rumah.

Aiman yang meminati pelajaran Bahasa Inggeris bercita-cita menjadi pelumba kereta dan pelakon.

Selain Aiman yang berasal dari Kedah, “Keringat Firdausi” terbitan Wiba Risma Sdn. Bhd. turut dilakonkan Zamarul Hisham (Ahmad) Izreen Azminda (Faridah) dan Jay Nazif (Aiman, Abang Haziq), Hafidz Roshdi (Aiman, Abang Haziq apabila dewasa) membawa kisah kehidupan keluarga Ahmad dan Faridah berubah 360 darjah apabila anak bungsu mereka, Haziq disahkan autisme.

Sejak itu, mereka suami isteri harus memberi perhatian kepada Haziq kerana walaupun usianya sudah mencecah 7 tahun, Haziq tidak boleh menyebut walaupun sepatah perkataan apalagi untuk memanggil ayah atau emak.

Bagaimanapun apabila Haziq sudah boleh memanggil emak dan ayah, kedua orangtuanya meninggal dunia akibat kemalangan. Sejak itu Haziq dijaga oleh abangnya, Aiman dan pelbagai dugaan yang mereka hadapi.

Penerbit drama berkenaan, Farouq Haji Omar berkata drama ini berdasarkan kisah benar adiknya yang autisme dan kini telahpun berusia 25 tahun.

Beliau mahu mereka di luar sana memberi perhatian kepada adik beradik sendiri jika mereka disahkan autisme.

-BebasNews

Leave a Reply