Kanak-kanak China demam biasa, bukan koronavirus, kata hospital Terengganu

0
240

KUALA TERENGGANU — Kanak-kanak perempuan warga China berusia 5 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Isnin lalu kerana mempunyai simptom koronavirus akan dibenarkan pulang hari ini selepas pulih daripada demam dan sakit tekak.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kanak-kanak itu yang hanya mengalami demam biasa dan sakit tekak sudah sihat sepenuhnya selepas menerima rawatan di HSNZ.

“Keadaannya stabil dan kita jangka kanak-kanak itu boleh discaj hari ini,” katanya melalui WhatsApp hari ini.

Isnin lalu, media sosial heboh mengenai seorang kanak-kanak warga China yang didakwa dilarikan ibu bapanya dari Hospital Kemaman selepas disyaki dijangkiti koronavirus.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat seorang doktor Hospital Kemaman untuk mengesan kanak-kanak tersebut dan tidak lama selepas itu, dia berjaya ditemui di lokasi projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Kemaman.

Ibu bapa kanak-kanak itu yang merupakan warganegara China adalah pekerja di kawasan projek ECRL Kemaman dan mereka berada di Terengganu sejak awal bulan lalu.

Mereka memberi kerjasama kepada polis untuk membawa kanak-kanak itu ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut dan mendakwa bukan melarikan diri, sebaliknya tidak memahami penerangan doktor disebabkan masalah komunikasi dan bahasa.

Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu mendapati beliau tidak memenuhi kriteria pesakit dalam siasatan (PUI) atau pesakit koronavirus dan pihak hospital memberi rawatan biasa kepadanya.

Bernama

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here