MUBARAK Majid.

Oleh NAFSIAH JANI

WALAUPUN kini ekonomi semakin berkembang dengan banyaknya penerbitan drama-drama tempatan. Namun perkembangan ini nampaknya tidak menyebelahi nasib pelakon-pelakon veteran yang semakin dipinggirkan. Kini nama-nama mereka tidak lagi menjadi pilihan stesen televisyen tempatan kerana kuasa memilih pelakon ditentukan pihak stesen televisyen dan bukannya pengarah drama.

Begitu juga nasib pelakon veteran, Mubarak Majid, 64, yang telah lebih 40 tahun berada di persada seni. Kini Mubarak Majid kurang mendapat tawaran berbanding sebelum ini.

“Sekarang ini memang trend pihak produksi ambil pelakon ikut kehendak stesen televisyen. Nampaknya sekarang pengarah sudah tidak ada taring lagi. Sedangkan kita tahu, dahulu pemilihan pelakon ditentukan pengarah kerana dia faham tentang karakter dan watak yang sesuai dengan seseorang pelakon itu. Ialah pengarah itu tahu keseluruhan cerita dan ibarat cerita itu sudah berlegar-legar dalam kepala pengarah yang sudah membayangkan pelakon yang sesuai.

“Perkara ini terjadi mungkin kerana pengaruh media sosial yang banyak mempengaruhi pemilihan pelakon atau pun stesen TV terikat dengan penaja. Bila dah terikat terpaksalah ikut kehendak penaja yang inginkan pelakon yang banyak pengikut Instagram atau mana-mana sosial media,” kata Mubarak bapa kepada enam cahaya mata ini.

Mubarak Majid menambah,”Dulu ada juga tawaran berlakon drama… tak dapat watak utama ada juga watak pembantu ataupun jadi pelakon jemputan dalam telemovie. Sekarang ni dah lebih tiga ke empat bulan tak ada sebarang tawaran berlakon.

“Berlakon ini jelah sumber pendapatan saya. Sekarang saya ikut rakan- rakan artis meniaga. Saya jual kuih tiram yang dibuat anak buah saya. Kini saya tolong pasarkan kuih tiramnya sebab saya rasa kuih itu sedap, rangup dan boleh pergi jauh. Kuih tiram ini ada yang panggil lidah buaya dan orang Kedah pula panggil kuih kapal terbang.”

Selain meniaga, Mubarak juga sering mengikuti rakan-rakan artis seperti Amran Nasaruddin, Kamarul AR, Fauziah Nawi dalam program seni teater . Mubarak baru saja selesai membantu rakan seni berlakon teater antaranya `Jangan Bunuh Rama Rama’ yang mengangkat naskah-naskah sasterawan Negara untuk dipentaskan.

Menurut Mubarak,” Sedih tu memang sedihlah juga . Nak kata mereka tidak ada nombor telefon saya tak logik pula sebab saya masih gunakan nombor yang sama. Tapi nak buat macam mana. Saya percaya rezeki di tangan Tuhan.”

Bercakap mengenai pemilihan pelakon yang tidak bersesuaian dengan sesebuah watak, kata Mubarak lagi,”Kadang-kadang pelakon yang bukan selayaknya macam pelakon muda diberikan watak bapa ataupun watak orang tua yang memang tidak kena dengan pelakon tersebut. Karakter tua ini bukan setakat mekap saja, cara jalannya, suaranya…itu semua kita kena tengok. Mekap memang boleh buat seseorang itu nampak tua. Tapi jalan dan suara itu boleh ke?..susah tu…saja -saja buat memang tak jadi. Itu sebabnya untuk watak orang tua kena ambik orang tua juga sebagai pelakonnya, melainkan mereka ada sebab.

“Saya tak nafikan perkara ini terjadi mungkin kerana bajet. Bayangkan kalau bajet untuk pelakon utama dibayar tinggi sebab stesen hendakkan pelakon itu juga. Kalau seorang dah 15k kalau dua orang dah 30k. Jadi berapa sangat bajet yang tinggal. Nak murah terpaksa ambil pelakon ekstra pertengahan umur yang murah untuk membawa watak orang tua.

“Pelakon utama sekarang cukup bertuah. Dulu pelakon utama nak dapat 10k pun memang susah …dapat bayaran 7k pun dah kira bertuah. Akhirnya bila tawar-menawar dapatlah 5 ke 6k sahaja.”

Kini Mubarak Majid yang menetap di Sungai Tua, Selayang bahagia bersama isterinya, Zaharah Kosrel, 60, serta 10 orang cucu.

-BebasNews

Leave a Reply