PAKAR perubatan tidak melihat keperluan untuk mengkuarantin semua penerbangan sekiranya ada penumpang yang didapati mendapat jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Hal itu memandangkan virus itu bukanlah tersebar oleh bawaan udara.

“Setakat ini kami berpegang bahawa ia tersebar melalui titisan cecair, kami hanya buat pengesanan kontak terhadap (penumpang) dua paling depan, dua paling belakang dan dua di tepi,” kata pakar kesihatan awam Dr Azmi Abdul Rahim.

Pengesanan kontak ialah proses mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang berada dalam pemerhatian.

Azmi mengulas mengenai laporan berita bahawa keseluruhan penerbangan Malindo Air dari Sabah yang membawa 31 orang termasuk 16 warganegara Malaysia dan Bolivia dikuarantin setelah mendarat di Tijian, China.

Ini dilakukan selepas dua daripada penumpangnya disahkan positif virus Wuhan.

Kata Azmi, kaedah keselamatan yang diamalkan di Malaysia hanya akan dikemas kini sekiranya virus itu berubah menjadi bawaan udara.

Jika ia berlaku, barulah keseluruhan pesawat akan ditempatkan dalam kuarantin.

Selain itu, Azmi berkata, pengimbas suhu yang terdapat di pintu masuk Johor kini diutamakan untuk rakyat China.

Katanya, ia ekoran kekurangan bilangan pengimbas itu sedangkan bilangan orang yang memasuki Johor dari Singapura adalah besar- sehingga mencecah 200,000 setiap hari.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media berasingan berkata kerajaan sedang berusaha memperbanyak bilangan pengimbas berkenaan setelah mendapat kenaikan peruntukan dari Kementerian Kewangan.

https://www.malaysiakini.com/news/508939
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here