PPSMI: Tangani dahulu masalah pokok

1
337

Oleh ARRAZAQ NAZRI

PENGAJARAN dan Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang ingin dilaksanakan semula sewajarnya dikaji semula perlaksanaannya.

Setelah beberapa lama, masalah pokok kepada kedua subjek tersebut bukan kepada bahasa semata-mata tetapi kefahaman terhadap subjek itu sendiri.

Subjek Matematik Moden mahupun Matematik Tambahan dianggap susah untuk difahami oleh pelajar bukan kerana istilah tetapi kesukaran menguasai konsep mata pelajaran tersebut.

Terdapat dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menggugurkan subjek Matematik Tambahan yang dianggap ‘pengacau’ kepada gred mereka kelak.

PPSMI dari segi sejarahnya dimansuhkan mulai 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah Malaysia.

Walaupun PPSMI dimansuhkan Bahasa Inggeris terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan 6.

Pemansuhkan tersebut diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan di Malaysia.

Selain itu keputusan memansuhkan PPSMI tersebut dibuat setelah kajian bebas antarabangsa turut membuktikan tahap pencapaian negara merosot dengan teruknya dalam kalangan 59 negara.

Hasil kajian 2007, kajian penting antarabangsa mengenai pencapaian Matematik dan Sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) dilaksanakan membabitkan 59 negara oleh Trends in Internationnal Mathematics and Science Study.

Hasil kajian tersebut menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata.

Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Dalam kalangan 59 negara yang mengambil bahagian dalam kajian TIMSS 2007, yang dilaksanakan Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat itu, ada negara yang skor purata pencapaian pelajarnya meningkat sedikit atau menurun sedikit.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi Matematik dan 40 mata bagi Sains adalah signifikan, mengikut laporan itu dan terbesar sekali dalam kalangan 59 negara itu.

Sesungguhnya kajian tersebut perlu menjadi rujukan pihak Kementerian Pendidikan sebelum melaksanakan PPSMI semula.

Kita perlu bergerak ke hadapan demi memberi kefahaman kepada generasi muda dalam aspek pembelajaran kedua subjek.

Sebaiknya yang diperkasakan adalah Bahasa Inggeris bukannya subjek Sains dan Matematik, pada pengakhirannya apa subjek sekalipun mudah difahami dan dikuasai.

BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here