Sajat wajib jalani ibadah sebagai lelaki, kata mufti Wilayah Persekutuan

0
511

MUFTI Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad al-Bakri menegur ahli perniagaan Nur Sajat bertelekung semasa menunaikan umrah kerana jantinanya yang didaftarkan dan disahkan melalui kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara ialah lelaki.

“Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki. Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan Muhammad Sajad Kamaruzzaman bagi membuktikan beliau adalah wanita.

“Maka, pendirian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum-hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sajat yang menjalankan perniagaan produk wanita, mencetuskan kontroversi selepas memuat naik video beliau bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Sajat dilaporkan berpakaian lelaki ketika menaiki pesawat, tetapi bertelekung selepas tiba di Mekah.

Agensi pelancongan yang digunakan Sajat kemudiannya mengarahkan Sajat dan rakan transgendernya dalam kumpulan umrah itu dibawa keluar dari tanah suci.

Zulkifli berkata, transgender wajib menunaikan umrah mengikut jantina asalnya kerana walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukum umrah, perbuatannya haram dan dikira berdosa, serta boleh didenda kerana melanggar wajib umrah.

“Ini bertepatan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H. Muzakarah menyimpulkan bagi mukhannas semula jadi atau disengajakan, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.”

Katanya, Sajat perlu menghormati undang-undang negara demi menjaga imej Malaysia yang dihormati negara lain kerana pengurusan haji dan umrah yang sistematik.

“Sebarang tindakan yang dilakukan jemaah haji dan umrah boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia-Arab Saudi. Jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan buruk kepada Malaysia.

“Saya doakan semoga Allah kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada Sajat dan jadikanlah umrah kali ini sebagai titik perubahan dalam kehidupan anda.

“Sementara berada di tanah suci Mekah dan Madinah, saya syorkan (Sajat) zahirkan diri sebagai lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.”

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/04/sajat-wajib-jalani-ibadah-sebagai-lelaki-kata-mufti-wilayah-persekutuan/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here