Benarkah PPSMI gagal?

0
300

Oleh AHMAD ABDUL HAMID

PERLUKAH pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dikembalikan dalam Bahasa Ingeris (BI) setelah dimansuhkan pada 2008?

Cadangan mengembalikan PPSMI dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang juga bertanggung jawab melaksanakan PPSMI bermula pada 2003.

Ia dilaksanakan secara berperingkat mulai sesi persekolahan 2003 dan diimplementasikan sepenuhnya di sekolah menengah menjelang 2007 serta sekolah rendah pada 2008.

Sejak sebelum pelaksanannya, program ini mendapat bantahan
daripada sebahagian besar ahli politik, golongan akademik, pejuang bahasa, pendidik dan
masyarakat umum.

Namun ia tetap dilaksanakan. Tetapi hayatnya tidak panjang apabila ia akhirnya dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 oleh Menteri Pelajaran ketika itu,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kini apabila Tun mahukan PPSMI kembali, sudah diduga bantahan daripada kelompok yang sama akan kembali bergema.

Kali ini mereka mempunyai satu lagi faktor menyokong iaitu PPSMI yang lalu telah gagal mencapai matlamat dan tidak harus ada agenda untuk melaksanakannya kembali.

Kegagalan ini dikaitkan dengan faktor guru yang tidak cukup bersedia, kemudahan pengajaran dan pembelajaran tidak mencukupi serta meluaskan jurang kemampuan murid dalam dan luar bandar.

Untuk berlaku adil, ketika mula dilaksanakan PPSMI adalah insiatif baharu yang berdepan dengan pelbagai cabaran serta bantahan.

Untuk mengatakan ia gagal bukanlah satu kesimpulan yang wajar memandangkan pelaksanaannya hanya untuk jangka waktu yang singkat.

Dalam isu berat seperti ini masyarakat tidak boleh mengharapkan kejayaan dalam sekelip mata memandangkan ia suatu projek baharu yang rumit.

Apatah lagi jika dari peringkat awal sudah ada persepsi negatif, misalnya susah hendak belajar dalam BI.

Akibatnya, dalam proses pelaksanaan PPSMI persepi ini boleh melunturkan komitmen untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh, malah seperti terpaksa.

Pemasuhan PPSMI dilakukan ketika Tun sudah tidak menjari perdana menteri. Tun bersara, PPSMI juga ‘bersara’.

Kali ini pun jika ia dilaksanakan kembali tiada jaminan ia akan terus hidup apabila Tun sudah tiada dalam kerajaan.

Apa pun segala kelemahan yang dikenal pasti dalam pelaksanaan PPSMI dahulu wajar diatasi dan diperbaiki andai ia hendak juga dilaksanakan.

Kita sudah mempunyai asas dan jadikan asas itu sebagai panduan melakukan sesuatu yang lebih baik agar lebih berjaya pada masa akan datang.

Harus disedari pelaksanaan PPSMI juga ada peyokongnya, termasuk juga di kalangan pelajar sekolah yang merasa selesa dan seronok belajar Sains dan Matematik dalam BI.

Justeru sementara pihak kerajaan mendengar suara-suara yang membantah, suara-suara mereka yang menyokong juga mesti diambil kira sebelum mengambil keputusan muktamad.

Satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah seiring dengan hasrat pelaksanaan PPSMI, penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar, terutama mereka di luar bandar, mesti
diperkukuh.

Penguasaan BI ini dikira teras kepada penguasaan subjek-subjek lain yang diajar dalam BI, bukan setakat Sains dan Matematik.

Dengan kemahiran BI yang baik dalam kalangan guru membolehkan mereka mengajar dengan lancar. Pelajar-pelajar yang mahir BI pula lebih mudah memahami dan menyerap ilmu yang sampaikan oleh guru.

Yang penting sentiasa tanamkan sifat positif dan jangan mudah mengalah pada cabaran kerana
cabaran akan sentiasa dalam apa juga situasi.

Inilah juga pegangan yang mesti sentiasa didukong berkait isu PPSMI. Itu pun jika ia benar- benar hendak dilaksanakan semula.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here