Masjid pertama dibuka di Slovenia selepas mohon 50 tahun lalu

1
350
ILUSTRASI: Slovenia Times.

AKHIRNYA… Umat Islam di Slovenia dapat tarik nafas lega apabila masjid pertama dibina di negara bekas komunis Yugoslavia itu akhirnya dibuka secara rasmi di ibu kotanya kelmarin.

Pembukaan rumah Allah tersebut disifatkan oleh Mufti Besar Slovenia, Nedzad Grabus sendiri sebagai detik perubahan terbesar dalam kehidupan minoriti Muslim di negara rantau Balkan itu.

Apatah lagi, usaha permohonan pembinaan masjid itu sebenarnya telah bermula genap 50 tahun lalu, namun tergendala beberapa kali ekoran kekurangan dana dan penentangan bukan Islam.

“Slovenia ialah negara terakhir persekutuan tujuh wilayah bekas Yugoslavia yang ‘runtuh’ pada 1992 akhirnya memiliki masjid sendiri di ibu negaranya,” jelas Nedzad pada sidang media khas.

Puluhan ribu Muslim di negara banjaran Alp; yang majoriti rakyatnya penganut Katholik, sebelum ini beribadah serta anjur majlis keagamaan dengan sewa dewan sukan atau bangunan tertentu.

Mereka mula memfailkan permohonan rasmi bagi bina sebuah masjid formal pada dekad 1960-an ketika Slovenia masih lagi sebahagian daripada pemerintahan republik sosialis Yugoslavia.

Komuniti kecil berasal dari etnik Bosnia itu akhirnya terima kebenaran pihak berkuasa 15 tahun lalu tetapi usaha tersebut ditentang kelompok politik haluan kanan selain alami isu kewangan.

Kerja pembinaan hanya bermula pada 2013 dengan kos keseluruhan 34 juta euro (RM154 juta) dan menurut Nedzad, 28 juta euro (RM127 juta) daripadanya ialah sumbangan kerajaan Qatar.

Terletak di kawasan separuh perindustrian ibu negara, Ljubljana, masjid mampu tampung 1,400 jemaah itu adalah sebahagian kompleks enam bangunan Pusat Kebudayaan Islam Slovenia.

Ia turut mengandungi pejabat komuniti Muslim, institusi pendidikan, perpustakaan, restoran, gelanggang bola keranjang, kuarters rumah imam dan sebuah menara setinggi 40 meter.

Kubah besar masjid ini yang berwarna kebiru-biruan agak menyerupai reka bentuk terkenal Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki era Khalifah Uthmaniah yang juga digelar Masjid Biru.

“Kami mahu hubung nilai seni bina Islam tradisional dengan kontemporari,” jelas arkiteknya, Matej Bevk sambil ulas permukaan kaca bagi gambarkan sifat Islam sebagai telus terbuka.

Dianggarkan ada 80,000 Muslim yang membentuk 2.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Slovenia berjumlah dua juta orang, sekali gus muncul agama kedua terbesar selepas Katholik.

Pembinaan masjid itu pernah dibantah pada 2004 dan 2009, namun dua usaha tersebut gagal apabila pihak mahkamah perlembagaan menolak referendum kumpulan penentang berkenaan.

Mereka kemudian bertindak liar dengan baling beberapa kepala babi dan simbah darah haiwan najis berat itu di sekitar tapak pembinaan masjid dalam dua insiden berasingan pada 2016 lalu.

Ironi, Datuk Bandar Ljubljana, Zoran Jankovic, dari etnik campuran Serbia dan Slovene; turut sokong projek pembinaan masjid tersebut bagi kemudahan ibadah masyarakat minoriti Islam.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here