Import atlet mesti yang cecah Asia-Olimpik-dunia

0
249
ZOLKPLES Embong.

Oleh KAKI BANGKU

PENGAMBILAN atlet naturalisasi sudah menjadi trend dan amalan yang terbukti berkesan walaupun oleh negara-negara yang sudah menjadi kuasa sesuatu sukan itu terutama bola sepak.

Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dalam ‘mewarganegarakan’ atlet import itu biarpun mungkin kurang disenangi legenda-legenda bola sepak yang masih mendabik dada mereka pernah berjaya hanya dengan kudrat anak-anak jati Malaysia pada era 60-an hingga 80-an.

“Perancis (juara Piala Dunia 1998 dan 2018) pun sudah ambil ramai pemain kelahiran Afrika. Takkan kita hendak ketinggalan. Jepun (layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998) sudah banyak meningkat sejak mengimport ramai pemain Brazil.

“Liridon Krasniqi satu penyertaan yang bagus bagi Harimau Malaya. Dia pernah bermain untuk Kosovo, sebuah negara Eropah yang pastinya taraf bola sepak mereka lebih tinggi berbanding kita.

“Mohamadou Sumareh (kelahiran Gambia) pun sudah banyak menyumbang untuk pasukan kita (penjaring tiga gol dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023).

“Sukar untuk kita bandingkan dengan pencapaian pasukan dengan pemain tempatan silam. Masa dan keadaan sudah banyak berubah. Kita akan ketinggalan kalau tidak ikut trend naturalisasi ini.

“Dulu yang setanding kita Korea Selatan, Jepun, Iran dan Kuwait tetapi sekarang kalau hendak ajak perlawanan persahabatan, Thailand pun sudah tidak pandang kita,” kata mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong kepada Bebasnews.

LIRIDON Krasniqi kelahiran Yugoslavia dan warga Kosovo baru mendapat kerakyatan Malaysia, Isnin lalu sekali gus berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya, tahun ini.

Liridon, 28, disahkan sebagai pemain kedua yang dinaturalisasikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Isnin lalu selepas Sumareh yang mulai menyarung jersi Harimau Malaya pada 12 Oktober 2018.

Namun kata Zolkples, pengambilan mereka juga perlu disaring dengan syarat-syarat ketat tertentu dan tidak boleh sewenang-wenangnya dilakukan sambil tidak sesekali melupakan program pembangunan bakat baharu sukan negara.

“Hendak ambil pemain import ini, kena ada KPI (indeks prestasi utama) tertentu. Takkan mereka masuk, setakat kita mampu menang Sukan SEA atau Piala AFF sahaja.

“Tentulah kita mahukan hasilnya lebih daripada itu macam dapat layak sehingga Piala Asia, Sukan Olimpik atau Piala Dunia. Jadi berbaloilah kalau Malaysia berikan kerakyatan itu.

“Sebabnya ramai orang kita yang masih pertikaikan, kenapa pilih atlet sedangkan negara kita lebih memerlukan tenaga profesional seperti doktor, jurutera dan saintis,” tegasnya.

Jangan juga sampai ada pemain import ini yang sudah mencecah lebih 30-an katanya kerana usia tersebut sudah dianggap sudah terlalu tua untuk disandarkan harapan Malaysia dalam tempoh yang panjang.

Guilherme de Paula yang berasal dari Brazil dan kini mewakili Perak selepas pernah bersama Selangor, Polis Diraja Malaysia dan Kuala Lumpur, yang dikatakan menjadi calon ketiga naturalisasi FAM sudah berusia 34 tahun.

Zolkples turut merujuk kepada atlet sukan lain yang pernah dinaturalisasikan di bawah Program Sukan Komanwel 1998 seperti Irina Maharani (menembak, Rusia), Hidayat Hamidon (angkat berat, Indonesia) dan Yuan Yufang (olahraga, China).
“Irina ini (penembak pistol) macam-macam masalah dia bawa dekat kita. Yufang mampu menang Sukan SEA dalam lumba jalan kaki (juga pelari jarak jauh) dan gangsa Sukan Komanwel 2002.

“Hidayat pula walaupun hanya menang emas Komanwel 1998 yang lebih rendah tarafnya daripada Sukan SEA, masih menyumbang sebagai jurulatih sekarang (turut mempunyai anak, Muhammad Erry sebagai atlet negara),” katanya.

Tambah Zolkples, tinju negara misalnya mungkin turut memerlukan kemasukan petinju-petinju naturalisasi seperti dari negara-negara bekas Soviet Union atau Asia Tengah bagi meningkatkan pencapaian kita yang sudah terlalu lama masih tidak mampu mencecah Asia.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here