Negara ‘Islam’ hanya pada nama

0
517

BERDASARKAN kajian Indeks Keislaman pada 2018, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, menduduki tempat ke-47 sedangkan negara bukan Islam, New Zealand menduduki tempat pertama, diikuti Sweden, Belanda dan Iceland.

Indeks Keislaman mengukur sejauh mana amalan mentadbir urus sesebuah negara dan ekonominya berlandaskan Al-Quran dan Hadis.

Matlamat utama kajian tersebut adalah untuk menentukan sama ada negara-negara “Islam” (negara dengan jumlah penduduk Islam yang besar) benar-benar menghayati prinsip Al-Quran berhubung dengan mentadbir urus negara, ekonomi, hak asasi manusia dan hak politik, serta hubungan antarabangsa.

Malangya, dapatan kajian tersebut mengatakan sebaliknya.

New Zealand yang hanya mempunyai 1% penduduk Islam meraih skor indeks keseluruhan yang tertinggi sebanyak 9.2 daripada 10, di mana amalan ekonominya lebih mencerminkan prinsip Al-Quran dengan skor 9, hak asasi manusia dan hak politik (9.29), dan 9.58 untuk perundangan dan urus tadbir.

Emran El-Badawi, pengarah pengasas Persatuan Pengajian Al-Quran Antarabangsa (IQSA) dan pengarah program pengajian Timur Tengah di Universiti Houston berkata, dapatan yang bertentangan ini disebabkan oleh komitmen liberal terhadap konsep kebebasan dan konsep kesamarataan hakiki (egalitarianism) yang kuat tertanam dalam dinamik tadbir urus negara-negara Barat, yang selaras dengan tema utama Al- Quran – keadilan.

Al-Quran memerintahkan umat Islam agar berani menegakkan keadilan dalam apa jua bidang, “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat. Sama ada seseorang itu kaya atau miskin, (janganlah kamu enggan menjadi saksi), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Q 4: 135).

Negara Islam yang berjaya menduduki tempat teratas dalam kajian tersebut Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat ke-45, dengan indeks keseluruhan 6.18. Indonesia yang majoriti penduduk Islamnya terbesar di dunia hanya berjaya meraih tempat ke-64 dengan skor indeks keseluruhan 5.05.

Sementara itu, Arab Saudi yang dilihat sebagai pemimpin utama negara Islam, menduduki tempat ke-85 dengan skor indeks kesuluruhan 4.42, di mana skor dasar hak politik dan hak asasinya hanya 3.63 daripada 10 dan skor tadbir urus dan perundangan 4.96 daripada 10.

Yaman, sebuah negara di hujung selatan semenanjung Arab, dengan 98% orang Islam mencatatkan prestasi terburuk dengan skor indeks keseluruhan 0.97, diikuti Sudan dengan skor indeks keseluruhan 1.25.

Bagaimana pula Malaysia?

Malaysia meraih tempat ke-47 dengan indeks keseluruhan 6.02. Skor yang terendah dicatat dalam bidang hak asasi manusia dan hak politik (4.66), 6.05 dalam hubungan antarabangsa dan 6.39 dalam urus tadbir. Skor tertinggi dalam amalan ekonomi (6.99).

Prestasi yang baik dalam amalan ekonomi ini mungkin disebabkan Malaysia perintis dalam pembangunan pasaran sukuk sedunia selain dari dasar-dasar membasmi kemiskinan. Malaysia kini pasaran sukuk utama dunia di mana sukuk bernilai AS$157.8 bilion (RM650 bilion) berjaya dikeluarkan pada 2019, berbanding AS$60 juta pada 2002.

Dalam kalangan negara Islam, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam senarai selepas UAE (tempat ke-45) dan Albania (tempat ke-46).

Namun, isu utama yang menyebabkan Malaysia berada di tengah senarai dan bukan di tempat atas senarai Indeks Keislaman ini disebabkan rasuah dan dasar negara berkaitan hak asasi manusia.

Lantaran itulah para pengkaji mencatatkan dakwa dakwi rasuah yang berpanjangan dalam tempoh masa kajian dibuat (sekitar 2018) mengakibatkan perubahan kerajaan semasa Pilihanraya Umum ke 14 (GE14), di samping isu peningkatan kos sara hidup.

Oleh itu, sebagai sebuah negara Islam, apakah yang perlu kita lakukan?

Pertama, menangani dan memperbaiki isu utama negara yang dikenal pasti dalam kajian Indeks Keislaman ini – rasuah serta dasar hak asasi manusia.

Dalam hal ini, berdasarkan satu lagi kajian terkini, Indeks Persepsi Rasuah (Corruption’s Perception Index, CPI) oleh Transparency International – pertubuhan anti-rasuah antarabangsa – pencapaian Malaysia sudah semakin baik dalam menangani isu rasuah sehinggakan isu tersebut tidak lagi menjadi masalah utama negara.

Yang menariknya, kajian CPI ini menunjukkan simbiosis antara rasuah dan keadilan, apabila rasuah bermaharaja lela, ia akan mengakibatkan penghakisan terhadap penghormatan kepada undang-undang. Dalam Indeks CPI, New Zealand dan Denmark menduduki tempat pertama dengan skor 87/100 (angka sifar sebagai sangat korup dan 100 sebagai sangat bersih dari rasuah), diikuti Finland (86/100), Singapura (85/100) dan Sweden (85/100).

Dalam kajian CPI, Somalia, sebuah negara Islam menduduki tempat tercorot dalam senarai dengan skor 9/100, diikuti Sudan Selatan (12/100), Syria (juga negara Islam dengan skor 13/100) dan Yaman (15/100).

Oleh itu, jelaslah menjauhkan diri daripada gejala rasuah harus menjadi keutamaan. Rasuah mengakibatkan berlakunya ketidakcekapan dalam peruntukan sumber di mana ia secara langsung mempengaruhi seluruh dimensi masyarakat serta menyebabkan kebekuan dalam pembangunan ekonomi negara secara total.

Justeru itu, dengan keputusan penilaian prestasi CPI yang semakin baik oleh Malaysia, kerajaan kini harus memberi tumpuan kepada ekonomi perut rakyat, dimana ia merupakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto PH semasa GE14.

Berdasarkan kajian yang dijalankan EMIR Research pada akhir tahun lepas, terdapat 5 faktor penting yang kerajaan Pakatan Harapan perlu beri tumpuan:

  • Mengurangkan kos sara hidup,
  • Meningkatkan kualiti hidup,
  • Mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi,
  • Rumah mampu milik, dan
  • Kos penjagaan kesihatan yang berpatutan.

Ini merupakan 5 prinsip “ekonomi perut”.

Namun, ia tidak bermakna secara keseluruhan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa boleh diabaikan.

Seperti yang dinyatakan Sri Mulyani Indrawati, bekas pengarah urusan dan ketua pegawai operasi (COO) Bank Dunia, jalan keluar dari kemiskinan dan rasuah melalui urus tadbir yang baik dan cemerlang – selaras dengan anjuran Al-Quran untuk berdiri tegas dan adil dalam membanteras rasuah dan sogokan.

_________________________________
Jamari Mohtar dan Alissa Azizi adalah sebahagian daripada pasukan penyelidik EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mahu pun pendapat BebasNews.

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here