Antartika julung kali catat suhu paling panas dalam sejarah

0
1344
FOTO: Wikimedia Commons/E. Steig [Public domain]

PARAH… Sebuah pangkalan penyelidikan di Antartika catat suhu terpanas di benua itu sekal gus cetus kebimbangan mengenai isu pemanasan bumi punca pencairan ais di Kutub Selatan.

Pangkalan Esperanza di hujung utara Semenanjung Antartika merekodkan 18.3 darjah Celsius, suhu tertinggi pernah dicatatkan, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) baru-baru ini.

“Ini bukan satu suhu biasa dikaitkan dengan Antartika pada musim panas sekalipun. Ia atasi rekod 17.5 darjah pada 2015,” kata jurucakap WMO, Clare Nullis di Geneva.

Beliau menambah: “Semenanjung Antartika antara tempat alami pemanasan terpantas di bumi. Kita banyak dengar tentang Artik di Kutub Utara, tetapi bahagian ini naik panas dengan laju.”

Para saintis antarabangsa percaya bahawa proses pemanasan bumi menyebabkan pencairan begitu banyak di Kutub Selatan malah bongkah ais gergasi itu berkemungkinan besar hancur.

Ini akan menyebabkan kenaikan tahap paras laut sebanyak sekurang-kurangnya tiga meter dalam beberapa abad sekali gus kawasan rendah terutama pulau terpencil bakal tenggelam.

Namun sebuah jawatankuasa WMO akan terlebih dahulu mengesahkan sama ada suhu dirakam perkhidmatan meteorologi kebangsaan Argentina itu adalah rekod baharu untuk benua Antartika.

Sebelum ini, rekod di rantau Antartika yang lebih tinggi ialah 19.8 darjah Celsius dicatat pada bulan Januari 1982 dan selepas itu banyak bongkah ais dikesan hilang dari peta setiap tahun.

“Situasi ini meningkat kepada sekurang-kurangnya enam kali ganda antara 1979 dengan 2017,” tambah Nullis merujuk pelbagai imej yang menunjukkan retakan glasier di sekitar Antartika.

Jurucakap organisasi kaji cuaca itu menambah: “Pencairan dari glasier ini, sepertimana yang anda ketahui, bermakna kita bakal hadapi masalah besar dari segi kenaikan paras air laut.”

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here