DAP Mahu Keluar, Suka Hatilah

Oleh DATO’ PROF EMERITUS DR. HASHIM YAACOB & ADI SUKMA

KITA membaca pada 29 Januari 2020 dalam Malaysiakini bahawa DAP Nga Kor Ming telah membuat ugutan untuk keluar daripada Pakatan Harapan sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf UEC. Kami fikir ugutan ini adalah ditujukan kepada Perdana Menteri sendiri.

Parti Komponen PH iaitu DAP sudah menjadi sebegitu besar sehingga dapat berbuat demikian, sekaligus memberi amaran kepada Perdana Menteri mereka sendiri.

Janji untuk mengiktirafkan UEC adalah terdapat dalam manifesto PH. Adakah dengan tidak mengiktiraf UEC boleh dibuat sebagai asas untuk mengugut kerajaan sendiri, sedangkan banyak janji lain dalam manifesto PH pun belum dapat dilaksanakan.

Walaupun sesuatu janji memang terdapat di dalam manifesto mana-mana parti sekali pun, rakyat hendaklah peka bahawa sesetengah janji tidak akan terlaksana sekiranya keadaan tidak membenarkannya untuk dilaksanakan.

Kerajaan boleh membatalkan janji dalam manifesto sekiranya setelah dikaji dengan teliti, janji itu boleh membawa kepada musibah dan kemusnahan kepada integriti, keamanan dan kesejahteraan rakyat dalam negara. Semua pihak hendaklah menerima hakikat ini.

Pada pendapat kami, ada beberapa perkara akan menyusahkan rakyat jika sekiranya UEC diiktiraf:

1. Pengiktirafannya UEC akan memberi saingan kepada pelajar-pelajar yang menuntut di negara sendiri dalam medium yang diwajibkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam permohonan perkerjaan dalam sektor awam dan juga dalam kemasukan ke Universiti Awam. Memang betul sesuatu persaingan itu amat sihat tetapi persaingan itu hendaklah sama taraf dengan kelayakan-kelayakan yang telah sedia ada dan diiktiraf oleh kerajaan. Umpamanya, apakah Gred A dalam peperiksaan UEC sama tarafnya dengan Gred A dalam STPM?

2. Pada waktu ini keutamaan untuk memasuki Universiti Awam adalah diberikan kepada Asasi, STPM, Matrikulasi Kerajaan dan Diploma. Kelayakan beberapa jenis diploma dan A-level adalah merupakan kelayakan-kelayakan pilihan kedua untuk memasuki universiti. Apakah penyokong-penyokong mahu menerima kelayakan UEC sebagai pilihan kedua?

3. Apa pentingnya untuk mengambil peperiksaan UEC ini sedangkan di negara kita sendiri sudah cukup banyak peperiksaan yang boleh diduduki bagi kemasukan ke universiti dan bagi mendapatkan pekerjaan.

4. Pada waktu ini pun sudah terdapat ribuan pelajar yang mempunyai kelayakan yang baik dalam STPM, Asasi, Matrikulasi, Diploma dan A-level tetapi tidak mendapat tempat dalam Universiti dan pekerjaan. Kalau ditambah pula dengan UEC maka bertambah buruklah situasi ini jadinya.

5. Kelayakan Pra-universiti yang dikenali sebagai berbagai-bagai nama yang dikeluarkan oleh negara-negara Barat seperti Kanada dan Australia tidak diiktiraf untuk memasuki Universiti Awam di negara kita ini. Mengapa pula kelayakan UEC boleh diberi pengecualian?

6. Benarlah bahawa kelayakan UEC diterima sebagai kelulusan untuk memasuki beberapa-beberapa universiti di Barat. Antara sebabnya ialah mereka memerlukan pelajar untuk memperkukuhkan pendapatan kewangan di nagara itu. Malaysia tidak memerlukan tindakan semedekian demi menjaga kepentingan rakyat yang belajar dalam sistem negara sendiri. Sama ada UEC diiktiraf oleh universiti di luar negara, tidaklah penting. Kalau UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, maka ianya tidak perlu diiktirafkan.

Mengiktiraf sesuatu yang tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan boleh diibarat seperti ‘menyusu kera di hutan, anak sendiri kelaparan’. (Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong). UEC telah pun mencipta sistem pendidikan yang berbeza daripada sistem kerajaan. Ini telah menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Berilah masa kepada kerajaan untuk mengkaji hal UEC ini dengan lebih teliti, supaya apapun keputusan yang bakal diambil, tidak dikesali nanti.
Sekiranya DAP mahu keluar dari PH semata-mata kerana tuntutannya tidak diiktiraf, maka terpulanglah kepada mereka.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here