JDT Kelab Terbaik Piala AFC Dekad Ini

0
256
KEJAYAAN dan dramatiknya laluan JDT menjuarai Piala AFC 2015 membolehkannya dipilih peminat sebagai 'Kelab Terbaik Piala AFC Dekad Ini'. - Foto the-afc.com

Oleh KAKI BANGKU

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai Kelab Terbaik Piala AFC Dekad Ini selepas meraih 80 peratus daripada sejumlah 81,126 undi peminat yang dikendalikan oleh laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak 2014 ini mengatasi kelab Iraq, Air Force Club yang hanya beroleh 12 peratus undi, Qadsia dan Kuwait SC (Kuwait) yang masing-masing dengan 6 dan 2 peratus serta Al Ahed (Lebanon), 1 peratus.

Pengundian yang memihak JDT yang juga juara Piala AFC 2015, dijalankan laman itu dari 2 Februari hingga semalam.

Harimau Selatan menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan 1-0 dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015 di depan 18,000 hadirin Stadium Pamir, Dushanbe menerusi jaringan pemain importnya dari Argentina, Leandro Velazquez.

JDT menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara atau Timur yang menikmati gelaran divisyen dua kelab-kelab Asia itu (di belakang Liga Juara Asia – ACL) yang sebelum itu dikuasai semua pasukan Asia Barat.

Ketika dikenali sebagai Johor FC yang membuat penampilan sulung Piala AFC 2009, mereka tersingkir pada peringkat kumpulan dengan hanya beroleh satu mata namun tampil dengan langkah yang jauh berbeza, enam tahun kemudian.

Kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini menerajui Kumpulan F Piala AFC 2015 selain mengatasi Ayeyawady United (Myanmar) dan South China SC (Hong Kong) dalam pusingan kalah singkir.

Penggantungan Persatuan Bola Sepak Kuwait oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana campur tangan kerajaan secara automatiknya melibatkan lawan JDT dalam separuh akhir, Qadsia SC yang mulanya memenangi perlawanan pertama di gelanggangnya, 3-1.

JDT mara secara automatik ke final, begitu juga Istiklol yang kalah 4-0 kepada Kuwait SC dalam satu lagi separuh akhir pertama.

Juara trebel Liga Malaysia 2019 (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah) itu kini beraksi dalam ACL sejak musim sama dan akan bertandang ke Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun untuk menentang Vissel Kobe apabila memulakan musim 2020, Rabu ini.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here