Kutipan untuk dibanggakan?

0
415

Oleh AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM

HANYA bahan terbaik sahaja digunakan. Ikan, ayam, beras, daging, kelapa, santan dan ulaman tidak segar langsung tidak dipertimbangkan. Ini kerana matlamat utamanya adalah untuk menghasilkan nasi kerabu tumis terbaik yang tiada tolok bandingan.

Tukang masaknya bersengkang mata bangun awal pagi untuk menyiapkan segala bahan ramuan. Kebersihan dan sukatan yang tepat diutamakan. Hinggakan arang bagi membakar ayam dan daging ditempah khas bagi memastikan isinya masak sekata dan empuk.

Tidak lupa juga segala urusan memasak ini turut diuar-uarkan di laman sosial, jiran-jiran dan kenalan turut dimaklumkan. Akhirnya hidangan istimewa ini siap sepenuhnya dan sedia dihidangkan, kesemua para jemputan sudah kecur mulut, tidak sabar-sabar untuk menjamahnya.

Malangnya, dengan selamba tukang masak itu memaklumkan bahawa hidangan itu bukannya untuk dimakan, tetapi sebaliknya hanya untuk dipamerkan bagi memaklumkan kepada umum bahawa inilah nasi kerabu tumis terbaik. Soalannya, apa perasaan tetamu yang sudah mengerumuni hidangan itu? Kecewa tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia adalah hak mutlak tukang masak berkenaan!.

Minta maaf, senario itu seolah-olah sama dengan situasi angka-angka yang terpapar megah di papan kenyataan masjid tentang kutipan saban minggu. Alhamdulillah, ia jarang merudum tapi sebaliknya sentiasa meningkat.

Jika dibuat bancian kepada penderma, apakah tujuan utama duit diinfakkan ke dalam tabung masjid, adakah untuk melancarkan aktiviti kemanusiaan kepada anak kariah yang berhak dan memerlukan? atau sekadar untuk memenuhkan akaun simpanan masjid terbabit?

Adalah amat molek selain dipaparkan jumlah kutipan, perbelanjaan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan turut dipamerkan. Manfaatkan white board masjid semaksimum mungkin. Tahniah kepada masjid dan surau yang melaksanakannya.

Sebenarnya, keghairahan jemaah untuk terus menginfakkan rezeki mereka diyakini bakal bertambah apabila mengetahui dengan jelas ke mana destinasi wang ringgit itu. Jangan hanya tunggu semasa Ramadan sahaja barulah pengurusan masjid (majoriti) mengumumkan jumlah sumbangan yang dihulurkan kepada asnaf. Maksimumkan kutipan untuk memperkasakan masjid dan surau sebagai pusat tumpuan masyarakat setempat.

Terdapat juga kata-kata sinis yang mengatakan bahawa bagaimana pengurusan masjid hendak menyantuni anak kariah yang memerlukan itu apabila mereka sendiri kurang mesra masjid. Pada satu aspek, ia nampak seperti betul, tapi wajarkah sindrom ‘bangau oh bangau, ini diteruskan. Sampai kiamat masalah ini tidak dapat diselesaikan. Pengurusan masjid perlu turun ke padang atau pasanglah ‘mata dan telinga’. Insya Allah tindakan mulia pengurusan masjid yang bekerja secara sukarela ini bakal menyentuh hati nurani anak kariah yang kurang mesra masjid itu.

Doakan juga agar inisiatif itu menjadi asbab kepada anak-anak kariah itu untuk menjadi ahli kelab seumur hidup masjid dan surau. Indahnya apabila solat lima waktu khususnya subuh menjadi seramai jemaah semasa solat Jumaat.

Kepada masjid atau surau yang mencatatkan jumlah kutipan tinggi saban minggu agar menjadikan inisiatif menyediakan gerabak makanan, pusat hentian setempat untuk anak kariah miskin mendapatkan keperluan harian sebagai SOP atau benchmark utama. Kaedahnya terpulanglah kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dan surau. Berlapanglah dada terhadap pandangan dan cadangan, ini kerana matlamat utama sesiapa sahaja terhadap Rumah Allah itu hanya satu iaitu untuk memakmurkannya, bukan sebaliknya.

Rasanya tidak elok apabila menjadi pertuturan dalam kalangan orang ramai – pagar masjid cantik, indah dan tersergam indah, tetapi jiran sekeliling masjid itu pula dalam kelaparan!

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here