Saya dirisik Disember lalu – Nora

0
2650
NORA berjanji akan menghadiri Bengkel Lakonan Fauziah Nawi pada 7 Mac ini, sebelum menerima 'pinangan' sebuah syarikat penerbitan.

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
BARU-baru ini terdengar kisah kononnya penyanyi bersuara lunak, Nora Ariffin tidak menolak sekiranya ditemukan jodoh lagi jika itu ketentuan-Nya.

Meskipun tiada jawapan pasti yang diberikan namun di kalangan wartawan tertanya-tanya siapakah lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati balu kepada, Allahyarham Johan Nawawi, ini.

Sabtu lalu, ketika saya menghadiri Bengkel Lakonan Bersama Fauziah Nawi di Studio Stefanie, di Taman Putra Sulaiman, Ampang, tiba-tiba mata saya terpaku tatkala terlihat seraut wajah yang tidak lekang dengan senyuman itu adalah di antara 33 orang yang menghadiri kelas intensif sehari itu.

Memandangkan beliau begitu tekun memberi tumpuan kepada ilmu yang dikongsikan pelakon handalan, Fauziah Nawi yang duduk di satu sudut studio itu, saya tidak mahu mengganggu konsentrasinya.

NORA Ariffin mengikuti Bengkel Lakonan Fauziah Nawi (berkacamata dan duduk di kerusi) di Studio Stefani, Ampang, Sabtu lalu.

Setelah hampir 13 tahun tidak bertemu muka, saya terkejut apabila Nora masuk ke bilik makan ketika waktu rehat dan menyapa saya penuh mesra.

Meskipun waktu dan keadaan memisahkan kami, tetapi begitulah Nora dan kebanyakan artis dan penyanyi yang mula mencipta nama pada awal 1980an dan 1990an yang saya kenali dan sentiasa menjaga silaturrahim yang telah terjalin sejak sekian lama.

Nora yang baru balik dari umrah menjerit kecil apabila saya bertanya production house mana yang merisiknya sambil beliau bertanya bagaimana saya tahu.

Bagi saya mudah sahaja, Nora berada di kelas lakonan tentunya ada kena mengena dengan cerita terbaru kononnya beliau dirisik!

Akhirnya tanpa diasak dengan pelbagai soalan lagi, Nora yang mula dikenali dengan lagu Di Persimpangan Dilema berkata;

NORA Ariffin menerima Sijil daripada Fauziah Nawi

“Memang ada sebuah production house telah merisik saya sejak dua bulan lalu. Tetapi sampai saat ini saya belum memberikan kata putus.

“Bukan mudah untuk saya menerimanya. Bagi saya sebelum menerima ‘pinangan’ itu, saya harus bersedia dari segi mental kerana saya bimbang mampukah saya menggalas tugas tersebut.

“Bagi saya jika mahu melakukan sesuatu mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana saya tidak mahu menyusahkan mereka yang terlibat dalam penerbitan berkenaan.

“Malah semasa suami saya masih ada, saya pernah menolak dua tawaran berlakon filem kerana komitmen saya pada keluarga. Bukan itu sahaja, Arwah juga tidak menggalakkan saya berlakon kerana waktu itu anak-anak masih kecil.”

Walaupun tidak pernah serius dalam bidang lakonan, Nora sebenarnya pernah memegang watak kecil dalam drama Cinta Antara Benua yang diterbitkan pada tahun 1990an.

Kini sebagai persediaan untuk ke set penggambaran, Nora akhirnya mengambil keputusan mengikuti Bengkel Lakonan sehari bersama Fauziah Nawi.

NORA Ariffin menerima Sijil daripada Fauziah Nawi.

Setelah menerima sijil daripada Fauziah Nawi, Nora berkata;

“Mulanya saya ragu-ragu apakah saya mampu melalui kelas 8jam ini yang meliputi sesi warm-up, lontaran suara dan pemahaman.

“Tetapi setelah sesi pemahaman selesai, saya rasa tidak cukup dan akan ikuti lagi kelas peringkat master pada 7 Mac ini.”

Bengkel Lakonan yang bermula dari 2 petang sehingga 10 malam, Nora bersama 32 peserta lain diajar kaedah berlakon antaranya mengawal perasaan panik dan cara pertuturan serta lontaran suara.

“Selama ini kita sebagai penonton selalu sangat komen tentang lakonan tetapi setelah ikuti kelas Ibu (Fauziah Nawi) baru saya tahu betapa susahnya jika kita tidak ada ilmu dalam lakonan.

“Walaupun kelas ini memberi penjelasan tentang lakonan dan bagaimana kita mengawal diri dari perasaan panik serta mentafsirkan sesuatu babak dan dialog, saya akan datang kelas lagi untuk membantu saya menjadi seorang pelakon yang ada ilmu,” kata Nora sambil tersenyum lantas memeluk Fauziah Nawi sebagai ucapan terima kasih kerana perkongsian ilmu yang amat bermakna.

Apabila ditanya mengenai rumours Nora akan berkahwin lagi, ibu kepada tiga orang anak , Syakir Iman,27, Putri Dahlia,16, dan Putri Fatehah,8, ini dengan nada lembut tetapi tegas berkata;

“Saya belum bersedia menerima seorang lelaki sebagai suami dalam hidup ini. Saya rasa bahagia hidup di samping anak-anak.”

-BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here