Kadir Jasin: Dr Mahathir kata Zahid ada sokongan, ka?

0
364

WARTAWAN veteran A Kadir Jasin berkata beliau telah membangkitkan isu mengenai laporan kemungkinan kerajaan Melayu dibentuk bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Spekulasi khususnya menyorot kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya partinya bekerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun, Kadir, yang juga penasihat media khas kepada perdana menteri dan merupakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, berkata Mahathir hanya ketawa dengan sokongan daripada Zahid.

“Laporan itu, antara lain, didakwa memetik OKT (orang kena tuduh) Ahmad Zahid sebagai berkata sesuatu yang bermaksud bahawa Umno tidak mempunyai sebarang pilihan selain bekerja dengan Dr Mahathir memandangkan PAS turut berbuat demikian.

“Tetapi apabila saya sebutkan hal ini kepada perdana menteri kemudian, beliau berkata: ‘Dia (Ahmad Zahid) ada sokongan ka?” Tulis Kadir di blognya hari ini.

Kadir berkata berkenaan hal politik, Zahid bukanlah seorang yang diambil seius oleh Mahathir. Ini, jelasnya kerana Zahid sedang menghadapi banyak tuduhan rasuah.

“Ahmad Zahid menghadapi lebih daripada 30 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih daripada RM40 juta daripada sebuah syarikat berkaitan Umno dan menyalahgunakan wang yang sepatutnya disalurkan untuk tujuan kebajikan.

“Dalam erti kata itu, Ahmad Zahid bukanlah orang yang paling baik untuk memimpin sebarang rundingan pelbagai pihak dan amat pelik untuk perdana menteri bercakap mengenai politik yang serius dengan seorang OKT,” katanya.

Menurut Kadir, pada hakikatnya Umno kini sedang kucar-kacir, sambil menjelaskan bahawa cakap-cakap mengenai kerajaan Melayu atau “Pakatan Nasional” muncul ketika krisis dalaman Umno sedang berlaku.

“Umno telah terpalit dengan bermacam-macam krisis. Beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno telah menentang idea itu dan berkata bahawa Zahid bukanlah orang yang tepat untuk terlibat dalam sebarang perbincangan dengan Dr Mahathir.

“Ia melaga-lagakan penyokong Zahid dengan penyokong tegar bekas perdana menteri Najib Razak dan pihak yang bebas daripada kedua-duanya,” katanya.

Sebelum ini, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Zahid untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Mahathir.

Kadir tidak percaya kerajaan Melayu atau hanya bumiputera sahaja akan membawa kebaikan kepada negara dan tidak pernah mengambil hal itu dengan serius sehinggalah beliau ditanya mengenainya oleh seorang lelaki Melayu muda berpendidikan tinggi yang berjaya.

Beliau mengambil maklum perkara itu tercetus selepas gambar pertemuan Mahathir dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang tersebar diikuti dengan laporan bahawa anggota MT Umno memberikan kebenaran kepada Zahid untuk berunding dengan Mahathir.

“Tapi itu bukan masalah besar. Dr Mahathir bertemu dengan semua orang – kawan dan musuh. Dia bertemu dengan Abdul Hadi beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Spekulasi itu mendakwa bahawa Pakatan Nasional akan terdiri daripada Bersatu, Umno, PAS, golongan yang memberontak dalam PKR dan parti bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

“Tetapi berdasarkan naratif Umno dan PAS, DAP nampaknya tidak mempunyai tempat dalam gabungan itu. Ini bermakna tidak ada wakil dari bukan bumiputera yang dianggap penting.

“Memandangkan yang berpaksikan Melayu/ Islam yang jelas, gabungan itu, jika ia menjadi kenyataan, tidak mungkin mendapat sokongan secara automatik parti bumiputera di Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira bahawa majoriti bumiputera di kedua-dua negeri di Borneo terdiri daripada bukan Islam.

“Umno dan Pas telah menyerang DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam dalam cubaan mereka melemahkan kerajaan Pakatan Harapan dan untuk menggerakkan sokongan kepada orang Melayu dan Islam.

“Saya tidak pernah percaya dengan kata-kata bahawa orang Melayu dan orang Islam terancam di bawah PH, sebaliknya orang Melayu dan umat Islam menjadi lemah dan tercemar kerana rasuah ketika kerajaan Umno,” katanya.

Justeru itu, Kadir berkata “Pakatan Nasional” adalah “tidak lebih daripada cakap-cakap tak berasas dan cuma bahan bualan di media sosial.”

Bagaimanapun, Kadir berkata beliau tidak terkejut bahawa cadangan sedemikian akan dibangkitkan semula pada masa akan datang.

“Dengan mengatakan itu, saya bagaimanapun tidak akan menolak kemungkinan wujudnya ‘tingkap’ kedua kepada cadangan tersebut, iaitu penyerahan kuasa daripada Mahathir kepada (Presiden PKR) Anwar Ibrahim,” katanya.

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here