Bersedia tutup sekolah, henti himpunan kerana wabak, kata WHO

0
15861
FOTO: WHO.

SUDAH masanya semua negara, termasuk Malaysia, bersiap sedia untuk kemungkinan penyebaran wabak koronavirus Covid-19, kata pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi rantau Barat Pasifik, Dr Takeshi Kasai hari ini.

Jurucakap WHO itu berkata rantau itu berada pada saat penting apabila virus itu kini disahkan di beberapa bahagian dunia.

“Kini terdapat laporan kluster kes-kes yang tiada kaitan nyata dengan China. Maklumat terbaru mencadangkan virus itu mungkin lebih mudah berjangkit berbanding apa yang dicadangkan data sebelum ini.

“Kita mesti bersedia sekiranya wabak merebak lebih luas. Ini perlukan tindakan sekarang, kerana persediaan mengambil masa, terutama bagi memastikan respon itu mencapai semua orang di segenap negara.

“Tambahan pula, kita perlu bersedia mempertimbangkan kemungkinan menutup sekolah atau menangguhkan perhimpunan besar-besaran, jika perlu, bagi mengurangkan peluang virus merebak,” kata Kazai.

Beliau berkata semua negara mesti bersedia untuk beralih daripada menguji semua kes-kes yang disyaki atau mengesan perhubungan semua orang yang dijangkiti virus itu kepada mengenakan kapasiti menguji terhad itu untuk memantau penyebaran dan trend geografi.

Beliau berkata maklumat itu boleh memberi kesan pada keputusan tentang respon kesihatan awam yang paling wajar.

Kasai berkata dalam kes jangkitan komuniti yang lebih luas, semua negara perlu pastikan kemudahan kesihatan boleh tumpu kepada merawat orang-orang yang paling lemah dan kes-kes teruk.

“Ini mungkin bermakna merancang untuk beralih daripada mengasingkan atau kuarantin semua yang dijangki kepada mengalakkan orang ramai dengan penyakit sederhana untuk berehat dan memulihkan diri di rumah – supaya kemudahan penjagaan kesihatan tidak sesak.

“Langkah-langkah mesti diambil untuk pastikan kemudahan kesihatan tidak jadi tempat yang melaratkan penyebaran virus, menjangkiti kakitangan dan pesakit lain.

“Saya faham kenapa orang ramai bimbang kerana ini penyakit baru dan masih banyak kita tidak tahu tentangnya. Perkara terbaik yang kita boleh buat adalah bersedia.”

Kazai berkata orang ramai boleh membantu dengan selalu membasuh tangan, dan jika tidak sihat, berehat di rumah dan tidak mendedahkan orang lain pada jangkitan.

Kazai berkata di China, sekitar 2% orang yang dijangkiti meninggal dunia. Di luar wilayah Hubei, kadar kematian mereka yang dijangkiti sekitar 0.4%.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/12/bersedia-tutup-sekolah-henti-himpunan-kerana-wabak-kata-who/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here