Malaysia tak patut amal politik identiti, kata ahli akademik Indonesia

0
424
DEWI Fortuna Anwar berkata, media memainkan peranan penting dalam mewujudkan perpaduan kerana ia mempunyai kuasa untuk mencetuskan konflik.

SHAH ALAM — Seorang ahli akademik Indonesia berkata, politik identiti tidak patut diamalkan di Malaysia, sebaliknya tumpuan dalam kepelbagaian rakyat perlu ditekankan berbanding perbezaan mereka.

Pensyarah penyelidikan di Pusat Kajian Politik Institut Sains Indonesia, Dewi Fortuna Anwar berkata politik identiti wujud kerana ia adalah cara mudah untuk meraih undi dan sokongan, tetapi negara moden bergelut untuk menanganinya dan mewujudkan platform sama bagi semua kaum.

“Masalahnya, selagi ada perbezaan, sentiasa akan ada orang yang mahu menonjolkannya.”

Beliau berkata, menolak perbezaan itu bukan penyelesaian masalah.

“Walaupun politik identiti bukan sesuatu yang kita patut pupuk, menghalang ekspresi perbezaan dengan menghukum rakyat yang menyuarakan perbezaan bukan caranya untuk mencapai keharmonian juga,” katanya di luar Persidangan Serantau 2020 mengenai Kewujudan Bersama Keamanan di sini, semalam.

Mengenai khabar angin Pakatan Nasional antara PPBM, PAS dan Umno, Dewi percaya negara ini sebenarnya mahu identiti rakyat Malaysia berbanding identiti Melayu-Islam memandangkan ia adalah masyarakat majmuk.

Katanya, identiti Malaysia perlu mengatasi kaum dan agama, manakala kerajaan dominasi orang Melayu-Islam akan menjadi langkah ke belakang untuk negara ini.

Memetik contoh Yugoslavia, beliau memberitahu bagaimana negara itu berpecah kepada republik berbeza berdasarkan perbezaan agama dan kumpulan etnik.

“Kita tidak mahu itu berlaku. Kita percaya masa depan terletak pada sebuah negara dan masyarakat kuat, sebuah negara yang dapat melindungi rakyatnya secara sama dan juga orang yang berasa selesa antara satu sama lain.

“Jika kita mula membezakan satu kumpulan daripada yang lain, maka kita bukannya hidup dalam sebuah komuniti. Saya tidak fikir itu ialah contoh baik untuk negara moden.”

Ditanya jika politik identiti Malaysia dapat dihentikan, Dewi meletakkan tanggungjawab itu ke atas kerajaan untuk memastikan pendidikan inklusif dan menggalakkan sikap bertoleransi terhadap rasisme dan perkauman.

Beliau berkata, media turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan perpaduan kerana ia mempunyai kuasa untuk mencetuskan konflik.

“Media perlu menggalakkan keamanan dan bukannya memburukkan lagi konflik.”

Katanya, perlu ada kaedah yang boleh memastikan pencegahan berita palsu dan Putrajaya perlu menumpukan perhatian untuk menghalang individu menggunakan media sosial menyebarkan ucapan kebencian serta berita palsu.

Mengenai isu keistimewaan khusus untuk orang Melayu, Dewi berkata, orang Melayu mahu mempunyai dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum kerana tidak mahu ketinggalan.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan dasar itu dan berkata: “Daripada mewujudkan dasar sosial untuk sesuatu kaum, Malaysia perlu mewujudkan dasar memfokuskan mereka yang kurang bernasib baik, seperti orang miskin tanpa mengambil kira kaum, agama atau jantina.”

“Jika kita berpecah belah, kita akan dieksploitasi persaingan kuasa antara kuasa utama luar dan akan ada campur tangan dalam hal ehwal negara.”

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/12/malaysia-tak-patut-amal-politik-identiti-kata-ahli-akademik-indonesia/
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here