Rezeki saya untuk menantu dan cucu – Fauziah Nawi

1
2202
SAAT bahagia ini dirakamkan pada Hari Raya Aidil Fitri tahun lalu. Dari kiri: Mhia Farhana, Siti Noor Fateha, Dhia Farhana, Thia Farhana (berdiri depan), Fauziah Nawi, Allahyarham Mohamad [email protected] Pitt dan Farah Ahmad.

SESEORANG pernah memberitahu saya, mulut boleh membohongi apa yang terpendam di hati namun mata tidak mampu menyembunyikan sayu dan pilu hati kita.

Begitulah yang ditanggung oleh Fauziah Nawi, 67, ibu kepada Siti Noor Fateha dan Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali Pitt yang meninggal dunia pada 27 Oktober lalu.

Pitt, pengarah filem Coast Guard, disahkan meninggal dunia setelah mayatnya ditemui di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.

Kemalangan berlaku pada 26 Oktober setelah penggambaran selesai, Pitt bersama seorang krew penggambaran pergi memancing.

Dalam kejadian itu, enjin bot yang mereka naikki mati lalu dibawa arus dan terlanggar tiang jembatan. Bot berkenaan terbelah dua, rakannya dapat menyelamatkan diri tetapi Pitt hanyut dibawa arus deras.

Pemergian Pitt setelah sebulan sibuk di lokasi, meninggalkan isteri, Farah Ahmad,43, dan tiga anaknya Dhia Farhana,17, Mhia Farhana,14, dan Thia Farhana,8, tanpa sepatah kata.

SHYRIM berlakon sebagai Pak Ngah dalam drama “Titian Takdir” turut mengikuti Bengkel Lakonan Fauziah Nawi.

Walaupun setiap hari Fauziah menzahirkan kecekalan hatinya di laman Facebooknya sejak 111 hari pemergian anak sulungnya, Pitt, tetapi hakikatnya beliau menanggung lara yang berpanjangan.

Saya mengikuti gelodak jiwanya di Facebook setiap hari. Selain sayu hati seorang ibu, saya dapat merasakan ada sesuatu yang mengguris hatinya tetapi disimpan kemas tanpa meluahkan kepada sesiapa.

Peluang menghadiri Bengkel Lakonan Fauziah Nawi, Sabtu lalu memberi peluang kepada saya untuk memcungkil rahsia yang disimpan selama ini.

Sepanjang setengah jam saya berbual untuk menyelami hati dan perasaan sayunya, tidak setitik pun airmatanya tumpah! Tetapi saya gagal melakukannya kerana saya dapat rasakan apa yang dilaluinya.

Soalan pertama saya kepadanya yang lebih mesra disapa sebagai Kak Yah, bagaimana keadaannya sekarang.

Primadona Fauziah Nawi (menerima gelaran tersebut pada Majlis Anugerah Telenovela anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara pada 2017 sebagai pengkitirafan terhadap penglibatan penggiat seni dalam naskhah adaptasi Novel) yang berpakaian jubah dan tudung hitam tersenyum dan berkata;

“Syukur alhamdulillah saya dianugerahkan kesihatan yang baik untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab saya.

“Sejak Pitt tak ada, saya tidak berhenti mendapat tawaran berlakon dan dengan duit itu cukup untuk saya menanggung kehidupan saya, menantu dan tiga orang cucu.

“Saya harus bekerja kuat kerana Pitt pergi tanpa meninggalkan harta dan duit walau sesen pun untuk isteri dan anak-anaknya. Tetapi saya bersyukur kerana Farah seorang menantu yang baik dan isteri yang kuat semangat.

“Walaupun pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya, Farah hanya tersenyum demi menjaga amanah suaminya. Tetapi saya tahu hati dan perasaannya.

“Kekuatan Farah dan anak-anaknya memberi semangat kepada saya. Saya redha pemergian Pitt dan berjanji pada diri saya akan menjaga nyawa-nyawa Pitt (isteri dan anak-anaknya) selagi Allah mengizinkan.”

Menurut Fauziah, selepas pemergian Pitt dia mendapat tawaran berlakon dan aktiviti seninya berpanjangan.

Bermula dengan drama Mingki (November), Gempita Sastera 7 (Disember), Drama Kambing Golek Ramadan dan Andainya Kau Ada ( filem terbitan Zeel Productions), beliau sentiasa sibuk di lokasi.

Terbaru, pada 16 Februari ini beliau akan ke Kedah selama empat hari untuk penggambaran drama Salam Dari Syurga terbitan Mindscope Sdn. Berhad.

DARI status Facebook Fauziah Nawi. Walaupun beliau cuba menyembunyikan rasa sayunya dengan senyuman tetapi mata tidak dapat berbohong sayu hati seorang ibu.

Selain itu, sejak Oktober Fauziah Nawi telah dilantik oleh K-Link International Sdn. Bhd. sebagai Duta cerminmata K-Ion Nano. Cerminmata berkenaan berfungsi untuk merawat saraf mata bagi mereka yang mempunyai masalah rabun jauh, rabun dekat, silau dan katarak.

“Saya amat bersyukur rezeki untuk menantu dan cucu masih ada demi kelangsungan hidup kami dan bengkel lakonan ini adalah yang pertama untuk tahun ini.”

Bengkel Lakonan Fauziah Nawi anjuran Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) telah diadakan sejak enam tahun lalu. Di awal dua tahun pertama bengkel itu diadakan secara percuma kerana hasratnya untuk membimbing mereka yang ingin menjadi pelakon berilmu.

Bagaimanapun sejak empat tahun lalu, Stefani mula mengenakan yuran sebanyak RM150 kemudian RM250 seorang untuk kursus sehari.

“Memang Stefani miskin tetapi kerana cinta saya pada bidang lakonan saya sanggup guna duit sendiri untuk makan minum peserta demi berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat.

“Pada awal diadakan grup belajar sambil persembahkan lakonan di pentas khas dan paling kurang 20 orang yang hadir untuk belajar kaedah berlakon. Tetapi lama kelamaan kadangkala empat orang yang datang.

“Namun begitu ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya. Bagaimanapun akhirnya saya mengenakan yuran.

“Tetapi yang hairannya apabila dikenakan yuran ramai yang hadir paling kurang setiap sesi 20 orang dan hari ini seramai 33 orang,” kata Fauziah yang turut dibantu Iryanda Mulya Ramli dalam setiap bengkel lakonannya.

Selain mereka yang tidak pernah berlakon mengikuti bengkel Sabtu lalu, turut serta ialah penyanyi Nora Ariffin dan pelakon drama “Titian Takdir”, Shyrim yang memegang watak Pak Ngah.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

1 COMMENT

  1. Alhamdulillah.. Syukur… Rezeki dari Allah buat hambaNya yang sabar dan tabah.. Buat insan terkenal Seniwati Primadona Tanah Air Ibu Hjh Fauziah Nawi.. ❤️❤️❤️❤️

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here