Covid-19: Dua wartawan sukarela di Wuhan tiba-tiba hilang

0
1245
AKAUN media sosial Chen Quishi telah dipdamkan oleh pihak berkuasa.

Oleh FETTY RARA

MEREKA sekadar wartawan sukarela atau ‘citizen journalists’ yang hanya ingin melaporkan apa yang sedang berlaku di sebalik tabir di Wuhan.

Mereka telah memuat naik beberapa video ke media sosial selain berkongsi foto dan laporan-laporan dramatik dari dalam bandar raya Wuhan yang dikuarantin itu.

Tetapi, tiba-tiba mereka tidak lagi kedengaran.

Terdahulu, Fang Bin dan Chen Qiushi bertekad untuk berkongsi apa sahaja tentang krisis wabak Covid-19 dari bandar raya di mana virus tersebut bermula, lapor bbc.com

Usaha itu telah melonjakkan bilangan pengikut akaun media sosial mereka.

‘Kehilangan’ mereka kini menjadi tanda tanya dengan pelbagai spekulasi dilontarkan oleh orang ramai.

Fang Bin yang merupakan seorang peniaga mula memuat naik video tentang wabak Covid-19 dengan alasan ingin melaporkan kepada dunia keadaan sebenar.

Video pertama beliau yang dimuat naik pada 25 Januari lalu ke YouTube  telah disekat China, tetapi masih boleh diakses menggunakan rangkaian persendirian (VPM).

Kumpulan video pertamanya sekadar memaparkan apa yang dirakam sekitar bandar raya Wuhan dengan fokus kepada tempat-tempat tertentu.

Pada malam 1 Februari lalu beliau merakam sebuah video yang menyentak perhatian penonton. Klip yang ditonton lebih 200,000 kali itu memaparkan imej yang didakwa sebagai mayat bertindan di dalam bas mini di sebuah hospital di Wuhan.

Feng kemudian mendakwa polis telah menyerbu rumahnya pada malam itu juga dan menyoal siasat beliau berhubung video-video tersebut. Beliau ditahan dan diberi amaran, tetapi kemudian dibebaskan .

Pada 9 Februari beliau memuat naik satu lagi video berdurasi 13 saat dengan tajuk “semua perlu memberontak – kembalikan kuasa kerajaan kepada rakyat.”

Selepas itu akaun media sosialnya terus sepi.

Di penjuru lain, Chen Qiushi, seorang peguam hak asasi manusia yang bertukar karier kepada kewartawanan sememangnya terkenal sejak sekian lama berikutan laporan-laporan eksklusifnya tentang protes di Hong Kong.

Laporan beliau di Hong Kong menjadi penyebab beliau diburu dan seterusnya ‘digam’ oleh pihak berkuasa sekembalinya beliau ke tanah besar China dan akaun media sosialnya yang mempunyai lebih 700,000 pengikut dipadamkan.

Keadaan itu, bagaimana pun, tidak mematahkan semangatnya untuk terus membuat liputan.

Pada Oktober tahun lalu beliau mendaftarkan satu akaun YouTube yang kini meraih seramai lebih 400, 000 pengikut, selain akaun Twitter dengan lebih 265,000 pengikut.

Lewat bulan lepas beliau berkunjung ke Wuhan untuk melaporkan tentang keadaan yang dikatakan semakin buruk di sana.

Beliau sedar bahawa apa yang dilakukan itu amat berisiko.

Chen kemudian memberitahu wartawan BBC, John Sudworth bahawa beliau tidak tahu beberapa lama lagi beliau dapat melaporkan berita sebelum ditahan pihak berkuasa.

Kerajaan China amat tegas tentang penapisan media di negara itu dan sesiapa yang berkongsi laporan beliau akan mendapati akaun mereka dipadamkan.

Pada 7 Februari selepas beliau memuat naik sebuah video yang mempersoalkan tentang kehilangan ibunya, Chen tiba-tiba hilang.

Pihak berkuasa China enggan mengulas tentang perkara tersebut.

Segala-galanya masih kekal sebagai misteri.

-BebaNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here