Ibu tunggal pamer, jual pakaian dan aksesori tiruan didenda RM35,000

0
6559
FOTO komposit: Wikimedia Commons.

KUALA LUMPUR — Seorang ibu tunggal didenda RM35,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mempamer dan menjual pakaian serta aksesori tiruan pelbagai jenama tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhi hukuman itu ke atas Azrita Arzemi, 45, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Hall 2, Aras 9, The Boulevard Hotel, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra di sini pada pukul 7 malam, 29 Dis 2019.

Dia didakwa memiliki 494 unit pakaian serta aksesori tiruan jenama Versace, Burberry, Gucci dan Tommy Hilfiger untuk tujuan perdagangan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 bagi setiap barangan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, Azrita berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM20,000 bagi setiap barangan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Chiew King memohon hukuman berat supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat manakala Azrita, yang diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor, memohon hukuman denda minimum atas alasan menjadi penanggung tunggal keluarga.

Di mahkamah sama, pemilik perniagaan World Wanted Perfume, Mohamad Fauzi Yop @ Abdul Aziz, 43, didenda RM28,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku memiliki 1,546 botol minyak wangi tiruan jenama Victoria’s Secret bagi maksud perdagangan di premis Lot 7-12, Kenanga Wholesale City, Off Jalan Kenanga di sini pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Feb lepas.

Tan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat atas alasan ini bukan kesalahan pertama kerana tertuduh pernah dikompaun RM8,000 pada 2015.

Mohamad Fauzi, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum kerana isterinya tidak bekerja dan hanya dia yang menanggung keluarga.

“Saya mempunyai lima anak yang masih bersekolah serta perlu menjaga ibu bapa yang uzur. Anak bongsu saya menghidap penyakit jantung berlubang dan kini memerlukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara.

“Saya telah insaf dan mengalami tekanan emosi malah syarikat saya juga mengalami kerugian sejak tahun lepas berikutan keadaan ekonomi yang tidak baik,” katanya dalam nada sebak.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here