Ilmu bola sepak dunia Iniesta pukau JDT

0
302
SAFAWI Rasid menjaringkan gol sagu hati JDT menerusi sepakan penalti minit ke-27 menentang Vissel Kobe. - Gambar Twitter JDT

Oleh KAKI BANGKU

GOL ketiga Vissel Kobe dan ilmu bola sepak kelas dunia oleh Andres Iniesta langsung memukau dan ‘membunuh’ Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga dibelasah 5-1 dalam perlawanan Kumpulan G bola sepak Liga Juara Asia (ACL) 2020, semalam.

Visi hebat permainan bekas perantara juara Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol itu turut membolehkan hatrik dicatat Keijiro Ogawa selain dua gol masing-masing oleh Kyogo Furuhashi dan Douglas di Stadium Misaki Park, Kobe, Jepun.

Si Harimau Selatan hanya mampu bermain baik bagi 15 minit pertama termasuk menyamakan jaringan 1-1 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid sesudah rembatan Diogo Luis Santo daripada lontaran ke dalam La’Vere Corbin-Ong terkena tangan benteng Vissel Kobe, Thomas Vermaelen.

“Selepas gol ketiga itu, kami sudah hilang keyakinan, juga falsafah dan taktik bola sepak yang kerap diterap dalam sesi latihan. Permainan kami turut mulai perlahan selepas 15 minit itu.

“Kami macam terpesona dengan Iniesta. Kami lebih banyak memerhatikannya. Sikap kami itu langsung dihukum sebuah pasukan yang berkelas tinggi seperti Vissel Kobe,” kata pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa dalam laman sosial JDT, Johor Southern Tigers.

Vissel Kobe juga hadir dengan reputasi hebat apabila menggondol gelaran berganda dalam tempoh sebulan sejak Disember lalu, Piala Maharaja dan Piala Super Jepun selain menurutnya, menjadi kelab yang paling berbelanja besar di negara Matahari Terbit itu.

ANDRES Iniesta (kanan) hanya memerhatikan percubaan kapten JDT, Harris Harun untuk mencuri bola. – Gambar Twitter JDT

“Pemilik Vissel Kobe pernah menaja Barcelona (kelab lama Iniesta, 36). Mereka banyak berbelanja dalam falsafah bola sepak. Iniesta dan pemain kebangsaan Jepun dalam kelab itu memang bertaraf tinggi,” katanya.

Figueroa, bekas anggota skuad JDT juara Piala AFC 2015, mengakui kekalahan besar kepada skuad Thorsten Fink dari Jerman itu menjadi sebahagian proses pengajaran berguna untuk mereka mengenali prasyarat penting dalam bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.

“Satu proses pembelajaran baik untuk kami maju dan saya harap kami akan bertambah baik dalam perlawanan berikutnya. Untuk mencapainya juga, kerja keras memang diperlukan,” katanya.

Segala kelemahan itu tegasnya, akan segera diatasi menerusi kerjasama erat dengan jurulatih warga Mexico, Benjamin Mora sekali gus menjanjikan persembahan terbaik bagi setiap perlawanan ACL musim ini.

JDT akan menyambung aksi peringkat awal kumpulan ini dengan menanti kunjungan kelab Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings yang juga bekas juara ACL 2001 dan 2002 di Johor Bahru pada 3 Mac ini.

Sama ada perlawanan kedua ini akan dilangsungkan di rumah baharu Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri atau venue jadual asal, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin akan ditentukan pada sesi pemeriksaan 18 dan 19 Februari ini.

“Kerja-kerja akhir bagi memenuhi beberapa keperluan teknikal sudah hampir lengkap bagi dua badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meluluskan penggunaannya,” kata Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here