Malaysia Top MUA buka peluang kerjaya jurusolek

0
214
ALHA (kanan) bersama barisan peserta program Malaysia Top MUA yang akan bersiaran mulai 15 Februari ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KITA selalu terpegun melihat solekan artis tanpa mengetahui orang di sebalik sentuhan magis itu. Tidak dinafikan sesiapa saja boleh menyolek tapi cantik tak seperti sentuhan mekap artis atau juru solek profesional.

Jika dulu orang memandang kerja jurusolek tidak ada masa depan setakat menyolek pengantin saja, kini kerjaya tersebut menawarkan peluang pekerjaan yang meluas.
Untuk menjadi seorang jurusolek bukanlah mudah kerana banyak perkara yang perlu dipelajari, bukan setakat meniru solekan daripada YouTube, anda boleh menggelar diri sebagai jurumekap.

Untuk menunjukkan tugasan yang perlu dilakukan oleh seorang jurumekap, Alha Alfa Rich Legacy telah menghasilkan program realiti berkonsepkan dunia solekan dan tata rias.
Pengasasnya, Datuk Alha Alfa atau Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil, yakin program Malaysia Top MUA yang akan bermula Sabtu ini (15 Februari), 9 malam, di saluran Astro Ria dan Astro HD mampu memberi inspirasi kepada mereka yang berminat untuk menjadi mekap artis.

“Selama ini kita hanya nampak kerjaya mekap artis di belakang pentas saja dan kali ini saya bawa mereka ke hadapan. Sejujurnya, karier sebagai jurusolek bukanlah mudah dan pengalaman ini juga mencetus idea saya untuk menerbitkan rancangan realiti, Malaysia Top MUA.

“Semangat saya berkobar-kobar setiap kali rakaman kerana pihak produksi dapat mencungkil bakat dan kemahiran dalam diri 10 peserta yang bertanding.  Objektif program ini bertujuan memberi peluang kepada semua Mua di luar sana untuk mengasah bakat seni sebagai jurusolek profesional berkemahiran tinggi dan disegani,” katanya yang bermula sebagai jurusolek dan kini berjaya sebagai usahawan produk Alha Alfa Cosmetic.

Katanya, program 10 episod itu bukan saja mengasah bakat seni seorang jurusolek tetapi ia membuka ruang ilmu kepada setiap peserta malahan penonton yang menonton.
Menurut Alha, pihaknya mendapat lebih 1,000 penyertaan selepas menguar-uarkan tentang program yang dihoskan oleh CK Faizal itu di sosial media.

“Kita mendapat lebih daripada 1,000 penyertaan yang mana mereka wajib menggunakan set Borderless daripada jenama saya. Mereka perlu menggunakan kreativiti masing-masing membuat video dan hantar kepada kami.

“Daripada penyertaan yang banyak itu, hanya 40 peserta dipanggil untuk diuji kebolehan mereka dengan satu tugasan untuk pihak saya mengetahui adakah mereka faham dengan konsep yang diberi.

“Pemilihan diperkecilkan kepada 18 orang dan kita ada soal jawab untuk mengetahui kehebatan tutur kata dan idea mereka. Hanya 10 peserta saja dipilih menyertai program Malaysia Top MUA,” ceritanya tentang proses pemilihan peserta yang bermula November 2019.

Para peserta Malaysia Top MUA adalah Roskartini Zainudin, Rahimah Abdullah, Mohamad Suhaizan Shaharudin, Syahril Aswat Rosly, Anis Aida Muda, Noor Aida Muhamad Azhar, Albion Hassan, Muhamad Yazid Ujod, Fifi Nor Atiqah Jaba dan Mohd. Rifqi Zaki.
Jelas Alha, pemenang program tersebut akan menerima wang tunai RM25,000, kedua, RM15,000 dan ketiga, RM10,000 beserta hadiah sagu hati.

ALHA Alfa bersama pengarah program yang dikenali sebagai Pak Ngah menjelaskan tentang pembikinan Malaysia Top MUA.

Selain itu, pemenang juga akan diberi peluang untuk berkolaborasi dengan syarikat beliau.
“Sudah tentu akan ada kolaborasi dengan syarikat saya. Kita akan gunakan wajah-wajah mereka ini sebagai orang depan untuk mempromosi produk. Bila sudah ramai pengikut, mereka boleh bergerak sendiri.

“Ini adalah salah satu platform buat orang ramai mempercayai yang kerjaya mekap artis ini adalah satu cabang seni yang bagus dan unik serta meluas. Kalau orang nak menggunakan khidmat mereka (peserta) amat mudah nanti,” katanya.

Tambahnya, Malaysia Top MUA, platform untuk menarik orang muda menjadikan mekap artis sebagai kerjaya kerana bayaran untuk seseorang jurusolek itu bergantung kepada kepakaran mereka.

“Sebenarnya, bayaran dalam industri mekap artis bergantung kepada kepakaran mekap artis itu sendiri, bukan pasal produk yang diguna. Untuk meletakkan harga hasil seni seorang mekap artis itu adalah kebolehannya, berapa lama, sejauh mana dia belajar. Kita bayar mereka ikut penilaian tersebut.

“Kalau kita berguru, kita dapat ilmu yang mencurah mengikut pengalaman mekap artis itu kerana mereka telah melalui pelbagai pengalaman.

“Belajar mekap menerusi YouTube boleh tapi kita tidak akan mengetahui apa kondisi kulit atau warna yang sesuai atau tidak, ini sangat jauh berbeza. Kalau kita belajar dengan guru, hala tuju lebih tepat berbanding meniru di YouTube,” jelasnya.

– BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here