ZAHIRAH MacWilson dan Aiman Hakim Ridza bakal bernikah dalam waktu terdekat ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PELAKON Zahirah MacWilson, 25, bakal mendirikan rumah tangga dengan Aiman Hakim Redza, 31, pada esok (Khamis).

Ramai yang beranggapan pasangan tersebut akan mengakhiri zaman bujang pada 20 Februari 2020 berdasarkan hastag #zahirAH#[email protected] yang dimuat naik Aiman dalam Instagramnya.

Status yang membuat orang berteka-teki bahawa mereka akan bernikah dalam waktu terdekat ini telah dimuat naik oleh Aiman pada 2 dan 14 Februari lalu.

Pasangan yang mula menjalin percintaan sewaktu berlakon bersama dalam drama bersiri Curi-Curi Cinta itu telah mengikat tali pertunangan pada 8 Jun 2019 di Perth, Australia.

Zahirah ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar semalam (17 Februari) bagaimanapun cuba mengelak soalan berkaitan majlis pernikahannya itu.

“Hari ini saya datang untuk mempromosi filem Bulan &Pria Terhebat. Saya memang teruja sebab ini filem pertama saya yang bakal menemui penonton pada 12 Mac depan.

“Ya, It’s a big moment tapi apa yang boleh saya kata, tunggu je lah. Saya lagi nervous menunggu tayangan filem ini,” katanya cuba mengelak soalan media tentang persediaan hari bahagianya itu.

Apa pun kata Zahirah, majlis perkahwinannya dengan Aiman akan diadakan di Malaysia dan beliau enggan bercerita lanjut kerana mahu acara tersebut menjadi satu kejutan.

Tatkala diaju soalan adakah mereka akan bergelar suami isteri berdasarkan status di Instagram Aiman yang menyatakan tarikh 20 Februari ini, jawapan daripada Zahirah cukup ringkas.

“Maybe. Kalau yang tu (tarikh), yang tu lah. Kena tunggu dan lihat,” katanya.

Menurut Zahirah, beliau dan Aiman tidak bermaksud untuk merahsiakan tarikh hari bahagia mereka, cuma acara yang bakal berlangsung lebih kepada keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya harap dapat ajak peminat sekali tapi disebabkan lokasinya terhad, jadi hanya saudara mara dan rakan terdekat saja yang dijemput.

“Untuk majlis itu nanti, tiada tajaan, semua persiapan dilakukan sendiri oleh pasukan pengurusan saya. Saya tak merahsiakan tapi biarlah surprise sikit,” katanya.

-BebasNews

Leave a Reply