JACKIE Wong.

Oleh KAKI BANGKU

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan penutupan segera kemudahan terpilih Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) buat sementara ekoran atlet negara, Jackie Wong didapati positif dijangkiti Coronavirus (Covid-19).

Siaran media hari ini menyebut, pembaling tukul besi negara itu dipercayai dijangkiti daripada bapanya yang juga disahkan positif Covid-19 dan dia sudah pun pulang ke Sarawak pada 11 Mac lalu malah dikenakan kuarantin di Hospital Sibu.

“Sebagai langkah segera demi keselamatan dan kesihatan atlet-atlet pelbagai jenis sukan, saya telah mengarahkan agar kemudahan MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet tersebut, ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian dan sanitasi yang sepenuhnya.

“Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” katanya dalam siaran media berkenaan.

“Dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan, atlet-atlet, para jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat dengan atlet tersebut akan diasingkan.

“Mereka juga telah dinasihatkan untuk melakukan kuarantin sendiri di asrama, menjalani ujian saringan kesihatan dan mematuhi arahan kementerian itu selanjutnya,” katanya.

-BebasNews

Leave a Reply