FOTO: Aziz A.Shariff.

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersetuju dengan cadangan agar semua masjid ditutup selama 10 hari.

Dalam hantaran di media sosial, Asri berkata, cadangan itu diajukan berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia termasuklah bagi semua aktiviti di masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah.

“Selepas satu sesi muzakarah khas malam tadi, berasaskan pandangan KKM, alhamdulillah, pihak Jakim bersetuju mencadangkan agar masjid-masjid ditutup dari semua aktiviti termasuk solat jemaah dan solat Jumaat selama 10 hari.

“Penamatan atau perlanjutan tempoh selepas itu akan dimaklumkan semula berdasarkan taklimat KKM.

“Pengumuman rasmi akan dibuat nanti,” kata Asri yang pada Jumaat lalu mengumumkan agar solat Jumaat pada minggu itu digantikan dengan solat Zohor di rumah.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Komunikasi Korporat Jakim, Nor Zaidan Ahmad berkata belum ada keputusan muktamad mengenai perkara berkenaan.

Kata Nor Zaidan, ia terlebih dahulu memerlukan perkenan Agong.

Kenyataan Asri hadir selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan malam tadi bahawa pandangan mengenai perundangan Islam berhubung dengan pandemik Covid-19 akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan penguasa negeri untuk tindakan selanjutnya.

Zulkifli, yang tidak mendedahkan butiran perbincangan tersebut, berkata pandangan itu telah dikumpulkan semasa mesyuarat jawatankuasa fatwa hal ehwal Islam kelmarin, seperti yang dititahkan oleh Agong.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Zahidi Wan Teh itu dihadiri oleh semua muftis dan wakil negeri, pengarah jabatan agama Islam negeri serta wakil majlis-majlis agama tempatan.

Dalam catatan Facebook yang berasingan, Asri mempertahankan pendiriannya berhubung penutupan masjid. Pengkritik sebelum ini mempersoalkan mengapa gesaan penutupan itu tidak dibuat terhadap kelab malam dan pusat hiburan.

Menggambarkan kritikan itu sebagai dangkal, Asri berkata: “”Sebagai muslim, apakah saudara pengunjung kelab malam sehingga perlukan arahan supaya jangan kunjung pada masa ini?

“Apakah jika tiada virus maka saudara pengunjung tegar kelab malam? Apakah saudara mahu dikeluarkan arahan ‘jangan kunjung kelab malam pada masa ini?’ Ertinya, selepas ini boleh? Atau saudara pengurus kebajikan ahli kelab malam?”.

Asri mengulas lanjut dengan berkata kelab malam dan pusat hiburan adalah bidang kuasa pihak yang lain.

“Di Perlis alhamdulillah tiada kelab malam.

“Hukum datang ke masjid itu antara wajib dan sunat dan umat Islam mengunjungi masjid atas titah perintah agama.

“Jika mahu menahan kehadiran mereka ke masjid atas menjaga kemaslahatan dan pencegahan kemafsadatan (kebinasaan) memerlukan alasan dan penjelasan agama.

“Oleh kerana itu, pihak berkuasa agama perlu bersidang dan merumuskan pandangan hukum,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/514884

Leave a Reply