KUALA LUMPUR — Bursa Malaysia terus mencatatkan satu lagi aliran keluar dana apabila pelabur asing menjual bersih RM1.91 bilion saham tempatan minggu lalu.

Penganalisis MIDF Research, Adam M Rahim, berkata, berbanding enam pasaran Asia lain yang turut dipantau oleh firma itu, Malaysia mencatatkan aliran keluar bersih asing kedua terendah setakat tahun ini.

“Penjualan bersih asing minggu lalu menjadikan aliran keluar bersih asing dari Malaysia setakat tahun ini berjumlah RM5.21 bilion,” katanya dalam Laporan Aliran Dana Mingguan.

Minggu lalu bermula dengan Bursa Malaysia menyaksikan penjualan bersih asing RM459.9 juta pada Isnin.

Penjualan pada hari itu dicetuskan oleh penurunan harga minyak selepas Arab Saudi, Russia dan pengeluar minyak lain gagal mencapai persetujuan terhadap pemotongan output.

Bagaimanapun, pelabur asing mengurangkan penjualan saham tempatan kepada RM257 juta pada Selasa.

Aktiviti pengambilan untung memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran saham tempatan yang mencatatkan kenaikan pada hari sama, namun tidak cukup untuk melonjakkannya di atas wilayah 1,450 mata.

Penjualan bersih asing kembali meraih momentum pada Rabu untuk mencecah RM320.3 juta, walaupun berlaku kenaikan di Wall Street berikutan harapan pentadbiran Donald Trump akan bertindak untuk meredakan masalah ekonomi daripada penularan COVID-19.

Aliran keluar bersih terus meningkat kepada RM375.4 juta selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik global pada Khamis.

‘Friday the 13th’ mencetuskan masalah kepada Bursa Malaysia apabila penanda aras pasaran saham tempatan itu berdepan hari terburuknya sejak 2008, susut lebih 5.3 peratus untuk ditutup pada 1,344.8 mata.

Berikutan itu, dana antara bangsa menjual bersih saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia sebanyak RM482.7 juta.

Dari segi penyertaan, nilai purata dagangan harian (ADTV) pelabur asing mencatatkan kenaikan paling kecil 13.1 peratus minggu lalu dan kekal pada paras kukuh RM1.72 bilion.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/03/665716/pelabur-asing-jual-rm191-bilion-saham-minggu-lalu

Leave a Reply