ANGGOTA polis Uzbekistan mengawal ketat hotel di mana kumpulan warganegara Malaysia itu dikuarantin /Foto: Faridah Hashim.

Oleh AZIZ A. SHARIFF & FARIDAH HASHIM DI TASHKENT, UZBEKISTAN

UZBEKISTAN yang sejak sekian lama terselamat daripada wabak Covid-19 yang mencengkam banyak negara di dunia kini tersentak dengan kemunculan kes jangkitan yang telah meningkat kepada 34.

Pada 15 Mac lalu makmal Institut Virologi Uzbekistan telah mengesan jangkitan yang dibawa oleh seorang rakyatnya yang baharu pulang dari Perancis.

Dengan penemuan itu seluruh jentera perubatan dan keselamatan di negara itu digerakkan dalam usaha untuk membendung penularan wabak berkenaan, lapor portal KazInform.

Bekas wartawan Bernama, Faridah Hashim yang terkandas di Tashkent bersama 14 orang rakyat Malaysia petang ini memberitahu bebasnews.my melalui laporan yang difailkannya berkata keadaan agak membimbangkan bagi lima kumpulan warganegara Malaysia di bandar raya itu sekarang.

Menurut beliau hari ini mereka mendapat tahu bahawa selain kumpulan mereka terdapat empat lagi kumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di sana dan kini semua diletakkan bawah arahan kuarantin di hotel masing-masing dengan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan Uzbekistan.

KUMPULAN lain rakyat Malaysia diserbu pasukan keselamatan dan kesihatan Uzbekistan semasa dalam tren kerana seorang daripada mereka mengalami demam.

Bagi Faridah, penyertaan rombongan ke Uzbekistan yang sepatutnya merupakan pengalaman penjelajahan ‘penyucian rohani’ dengan lawatan ke lokasi penting warisan Islam di negara itu kini telah bertukar menjadi situasi lain apabila tiba masanya untuk mereka pulang  ke Malaysia.

Tiga hari lalu dalam perjalanan untuk meneruskan ziarah rohani mereka, mereka terkejut mendapati masjid yang mereka merancang untuk dilawati telah ditutup berikutan pengumuman penularan wabak Covid-19 di Uzbekistan oleh presiden negara itu, Shavkat Mirziyoyev.

Pada keesokan harinya Faridah dan kumpulannya diarahkan supaya berada di bilik hotel dan dilarang keluar, walaupun untuk sarapan di sebuah kafe di tingkat bawah.

Dari saat itu beliau mula diselubungi kebimbangan tentang nasib seterusnya, jelas Faridah.

Mereka telah menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Tashkent, tetapi menurut beliau tiada apa-apa tindakan signifikan diperoleh bagi menangani keadaan.

Sepanjang berkurung di bilik hotel, Faridah berkata penyediaan makanan oleh pihak hotel amat lewat dan setiap hidangan yang perlu dihantar ke bilik diperiksa rapi satu persatu oleh pihak polis.

Hingga ke saat ini beliau dan kumpulannya masih menunggu tindakan seterusnya walaupun awal petang tadi (waktu Malaysia) akhirnya pihak kedutaan meminta pasport mereka.

Faridah akan fail laporan tentang perkembangan selanjutnya kepada bebasnews.my.

HOTEL Qushbegi Plaza, Tashkent di mana Faridah dan kumpulannya di kuarantin sekarang.

-BebasNews

Leave a Reply