LAMAN Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dihujani dengan pelbagai kritikan dari netizen, yang membidas ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Tidak bersetuju dengan perkara itu, pengguna laman sosial dikenali sebagai Zul Joey dalam tulisannya mempersoalkan keperluan menjadikan UEC sebagai sebahagian daripada syarat permohonan PISMP.

Katanya, sedangkan sebelum ini syarat asas untuk memohon program berkenaan adalah perlu lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“UEC tak layak pun diberi peluang kerana tidak diiktiraf ‘government’, apatah lagi nak jadi guru bahasa Cina,” katanya.

Turut menyatakan pendapat sama, Hanith Ayesyar berkata, calon lepasan UEC hanya boleh memohon PISMP dengan syarat menduduki SPM.

Tulis Yamin Aswat: “UEC ni ada silibus Sejarah KPM ke? Ke macam mana, calon ambil subjek tambahan Sejarah untuk cukupkan syarat?”

“Wajib ada SPM, Tak boleh hanya ada UEC,” desak Khairil Izzak Mazhar.

Sementara itu, pengguna Muhammad Azizi Azmi  menggesa supaya kerajaan menghapuskan UEC dan sekolah vernakular.

Katanya, para pelajar di Malaysia sepatutnya diajar bahasa Melayu, yakni bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara.

“Nak UEC pergi sekolah swasta lah. Belajar bahasa negara asing di sekolah swasta. Bukan di sekolah bantuan kerajaan. Jangan perbodohkan rakyat. Cukup-cukuplah.

“Sebelum ini bukanlah Muafakat Nasional (MN) perjuangkan untuk hapuskan UEC. Please. Walaupun zaman Barisan Nasional (BN) dah ada, kerajaan patut kaji semula,” katanya.

Terdahulu, KPM pada Khamis menyatakan bahawa, ketetapan bagi pengambilan calon guru lulusan UEC untuk PISMP telah dilakukan setiap tahun semenjak 2010.

KPM berkata, calon lulusan UEC ditetapkan untuk mengajar subjek Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kementerian itu berkata demikian setelah menerima beberapa pertanyaan dan maklum balas berkaitan iklan pengambilan khas PISMP dengan kepujian bagi calon lulusan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Ugama (SMU) dan UEC Ambilan 2020.

Baca lagi: https://www.ismaweb.net/2020/03/20/uec-facebook-kpm-dihujani-kritikan-netizen1/

Leave a Reply