PENYEDIA perkhidmatan penghantaran, Lalamove, menaja penghantaran percuma bernilai RM20,000 untuk memudahkan aktiviti pemberian sumbangan organisasi bukan kerajaan (NGO) kepada golongan kurang berkemampuan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan Lalamove Malaysia Shen Ong berkata syarikat itu ingin memainkan peranan mereka dan membantu NGO dalam meneruskan aktiviti amal mereka mengikut garis panduan terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menetapkan hanya dua sukarelawan sahaja semasa pengedaran bantuan dan mesti mematuhi piawaian prosedur operasi (SOP) mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara.

“Dengan bilangan sukarelawan yang terhad di bawah garis panduan baharu, NGO mungkin menghadapi masalah untuk memindahkan barang dari pusat pengumpulan ke tempat sumbangan dan kami tidak mahu masalah timbul dalam usaha mereka untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shen berkata syarikat itu berupaya untuk menyokong banyak penghantaran amal sepanjang tempoh berbaki PKP dan menggalakkan NGO yang memerlukan bantuan penghantaran untuk menghubungi mereka.

Menurutnya, syarikat itu telah mempraktiskan amalan ‘penghantaran tanpa sentuh’ seboleh mungkin.

Lalamove telah menaja 163 penghantaran percuma sejak 22 Mac dan membantu NGO tempatan menyalurkan barang-barang penting kepada golongan yang memerlukan dengan memanfaatkan pelbagai jenis kenderaan yang dimiliki mereka, termasuk van dan lori untuk sumbangan pukal.

— BERNAMA

Leave a Reply