PENYANYI Saragabani yang kerap muncul dalam saluran RTM sebelum ini, antara penerima sumbangan.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PELAKON dan penyanyi S. Azli melahirkan rasa syukur kerana menerima sumbangan barangan runcit daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).

Beliau yang mengakui pendapatannya turut terkesan sejak pandemik Covid-19 berkata, pemberian tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan dapur.

“Saya yang bergantung penuh pada persembahan memanglah terasa tapi kita nak buat macam mana kerana itu dugaan daripada Allah.

“Alhamdulillah, tiada rezeki untuk persembahan datang pula rezeki lain. Pemberian YKAT ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan orang seperti saya ini,” kata pemilk nama sebenar Ghazali Shabudin.

S.Azli, 72,  adalah di antara 20 penerima sumbangan daripada YKAT untuk misi kedua yang dilaksanakan oleh YKAT sejak berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

S.AZLI bersyukur dengan pemberian daripada YKAT, baru-baru ini.

Lain-lain penerima sumbangan adalah Raftah Bachik, Rozawir (Bloodshed), Ku Faridah (Mak Engku), Gan Gek New, Sundaraletchumi, Sarangabani dan beberapa lagi.

Menurut salah seorang pemegang amanah YKAT, Datuk Nash, vokalis kumpulan Lefthanded, misi kedua
diberikan kepada penggiat seni dalam kalangan pelakon, penyanyi dan pemuzik.

“Walaupun mengalami kesukaran semasa penghantaran tapi petugas berjaya hantar sumbangan kepada mereka semua selama tiga hari yang bermula pada 16 April 2020 sehingga 18 April lalu.

“Sumbangan ini adalah daripada dana yang diperoleh dari kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012. Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanah air,” jelasnya.

Kata Nash, setiap daripada mereka menerima sumbangan berbentuk barangan runcit seperti beras, susu, gula, tepung, bawang, cili, makanan dalam tin dan lain-lain lagi.

Jelasnya, pemberian sumbangan ini mengambil kira artis-artis yang sangat memerlukan bantuan ketika PKP ini.

“Kami mempunyai rekod mereka semua, di mana ada di antaranya sakit, Orang Kurang Upaya (OKU), hilang tempat bergantung dan lain-lain”.

“Sumbangan tersebut adalah daripada dana yang diperoleh daripada kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012,” katanya.

Tambah Nash, dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanah air.

Setakat ini, YKAT telah dapat menyampaikan kepada 40 orang artis secara keseluruhannya untuk sumbangan Covid-19.

-BebasNews

Leave a Reply