BERAT MATA memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu gambaran keadaan empat beranak yang menumpang teduh di sebuah pondok usang di Jalan Lumba Kuda, di sini, kira-kira semenjak setahun setengah yang lepas.

Muhamad Farid Ibrahim, 34, berkata atas belas kasihan serta pertolongan seorang lelaki yang dikenali sebagai D.Raja Mohan, 53, dia sekeluarga dapat tinggal di pondok usang yang sebelum ini merupakan kantin sebuah tokong.

Lelaki berasal daripada Tumpat, Kelantan itu berkata dia terpaksa membawa isteri Siti Zaleha Ismail, 37, serta dua anaknya iaitu Nur Aini Sofiya, 16, dan Muhamad Syazwan Imran, 9,  keluar daripada rumah sewa kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, dia yang mencari pendapatan sebagai tukang rumah dan membaiki motosikal  turut meluahkan perasaan semakin buntu kerana hilang punca rezeki semenjak tiga bulan lepas kerana tiada kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas.

“Kami bayar bil elektrik dan air kepada pihak tokong kerana benarkan kami tinggal di pondok usang itu, tetapi selepas mengetahui saya tidak ada kerja buat masa ini, mereka menjelaskan saya tidak perlu bayar,” katanya kepada pemberita  selepas menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai daripada Econsave Cash & Carry Sdn Bhd di pondok usang itu, di sini.

Malah katanya, kedua-dua anaknya tidak dapat ke sekolah sejak awal tahun ini kerana dia tidak cukup wang untuk membiayai perbelanjaan mereka.

“Kalau lapar saya terpaksa minta tolong orang, saya tidak mengapa…yang penting isteri dan anak-anak dapat mengalas perut,” katanya sambil menambah dia tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Bantuan Prihatin Nasional kerana tidak mempunyai telefon bimbit untuk membuat permohonan.

Telefon saya sudah digadai di kedai pajak kerana saya perlukan duit, setakat ini ada satu sahaja telefon bimbit isteri tetapi hanya telefon biasa dan tiada internet, katanya yang menjelaskan terpaksa merahsiakan keadaan yang dialaminya kepada keluarga sebelum ini..

Beliau berkata dengan menggunakan telefon isterinya untuk bertanya khabar ibu di kampung yang rindu untuk melihat mereka sekeluarga  setelah tidak dapat pulang raya tahun lepas,” katanya

Muhamad Farid berkata dia bersyukur mempunyai tempat berteduh,  namun atas faktor keselamatan, selain diancam gangguan anjing liar dan haiwan berbisa seperti ular, dia berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan agar dapat berpindah daripada kawasan yang lebih selamat.

— BERNAMA

Leave a Reply