Oleh AZIZ A. SHARIFF

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diteruskan selama empat minggu lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa larangan merentas sempadan negeri terus berkuat kuasa bagi tujuan selain yang dibenarkan.

Ini bermakna yang mengharapkan pelonggaran atau penarikan balik PKPB pada Hari Raya Aidil Fitri tidaklah dapat pulang ke kampung.

Larangan ini mungkin amat terkesan bagi perantau yang berada di negeri lain, namun bagi yang berada di dalam negeri yang sama apa pula keadaan nanti?

Ramai yang berpendapat bahawa setidak-tidaknya mereka boleh beraya di kampung jika kampung itu di dalam negeri yang sama.

Persoalan tentang penjarakan apabila berhimpun dalam apa bentuk pun setakat ini bagi sesetengah orang hanya sekadar teori dan hanya masa akan menentukan cara.

Ini kerana ramai yang mengambil ringan dan memandang remeh segala amalan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sekarang pun nampaknya dengan pelonggaran PKPB kita dapat melihat betapa amalan yang dituntut demi kesihatan diri dan masyarakat diabaikan.

Pihak berkuasa tidak mampu menempatkan petugas di semua kawasan dan tanpa kawalan ramai akan mengambil mudah segala peraturan.

Menyentuh tentang Hari Raya pula, persoalannya apakah mereka yang pulang ke kampung (dalam negeri yang sama) akan terus memastikan penjarakan dan sebagainya?

Bagi penulis ini berpandukan kes-kes ingkar PKPB yang ditambah lagi dengan contoh satu dua insiden di mana pemimpin sendiri tidak mengamalkan penjarakan atau mematuhi perintah, apatah lagi rakyat marhaen?

Apa pun, kita berharap segala tindakan akan berpandukan peraturan yang disyorkan pihak berkuasa.

-BebasNews

Leave a Reply