FOTO: Wikimedia Commons/Adli Wahid / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

MAJLIS Ugama Islam Singapura (MUIS) menangguhkan penghantaran jemaah untuk ibadah haji tahun ini ke tahun hadapan atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan mereka berikutan penularan wabak Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia.

Menurut Facebook MUIS penangguhan itu yang melibatkan 900 jemaah adalah bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi lebih 80 peratus bakal jemaah itu berusia lebih 50 tahun.

Mengikut pakar kesihatan, golongan pada usia ini lebih berisiko dijangkiti ketika mengerjakan ibadah haji yang melibatkan perhimpunan ramai.

Sementara itu Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata, pihaknya prihatin tentang risiko kesihatan dan kesejahteraan golongan ini jika mengerjakan haji dan ini bermakna salah satu daripada syarat menunaikan haji tidak dapat dipenuhi.

Dalam mengerjakan ibadah haji ini, antara kemampuan yang perlu dipenuhi adalah dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kesempatan. Ini bermakna menjaga nyawa juga penting.

“Terdapat keprihatinan serius terhadap keselamatan perubatan, khususnya risiko jangkitan dan penyebaran Covid-19, dalam sekitaran yang sangat sesak dan majoriti jemaah dalam kumpulan usia berisiko tinggi,” katanya.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta umat Islam di seluruh dunia menunaikan haji.

Beliau juga berkata terdapat beberapa faktor lain seperti pelaksanaan kuarantin sekembalinya dari Makkah, masalah kewangan serta kekurangan khidmat perubatan jika jemaah dijangkiti di sana.

“Kesemua ketidaktentuan ini mempunyai kesan serius ke atas kesejahteraan fizikal dan emosi jemaah kita dan secara kolektif, menimbulkan bahaya dan kesusahan, yang cuba dielak dalam Islam pada setiap masa,” katanya.

Singapura dipercayai negara pertama mengambil keputusan menangguhkan ibadah itu walaupun kerajaan Arab Saudi belum membuat keputusan rasmi mengenai status ibadah itu.

Sehingga semalam, Arab Saudi telah merekodkan 49,176 kes positif serta 292 kematian dengan Makkah dan Madinah sering mencatatkan kes tertinggi harian sejak April lalu.

-BebasNews

Leave a Reply