FOTO: Jacinda Ardern (kiri) dan Clarke Gayford (kanan)/ Foto: Wikimedia Commons/Government House / Governor-General of New Zealand / CC BY-SA (https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0)

Oleh FETTY RARA

AMAT jarang sekali kita mendengar pemimpin tertinggi sesebuah negara yang ingin makan di restoran dilarang masuk oleh pemilik premis.

Tapi, itulah yang berlaku semalam apabila Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dihalang memasuki sebuah kafe popular di Wellington yang penuh kerana mengamalkan penjarakan pelanggan, lapor akhbar The Guardian.

Susulan itu kejadian tersebut menjadi ‘trending’ dalam media sosial.

Ada pihak yang kesal kerana seorang pemimpin tertinggi negara pun tidak dikecualikan dalam mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Ardern, bagaimanapun, tidak mengambil kisah penolakan kafe tersebut untuk melayan beliau, dan pasangan beliau, Clarke Gayford mengaku telah melakukan kesilapan kerana tidak membuat tempahan terlebih dahulu.

Clarke sebaliknya memuji pemilik restoran kerana tegas melarang beliau dan Ardern memasuki kafe tersebut.

Seorang jurucakap pejabat perdana menteri New Zealand berkata jika di kebanyakan negara lain notis dan tempahan akan dibuat oleh pembantu pemimpin, namun di New Zealand amalan seperti itu tidak terpakai kerana seorang PM hanya seperti rakyat lain.

Bagaimana pun, dalam kejadian semalam, apabila sebuah meja dikosongkan setelah pelanggan yang duduk di situ keluar, pemilik kafe berkenaan berlari mendapatkan Ardern dan Clarke lalu menjemput mereka kembali masuk kerana telah ada ruang kosong.

-BebasNews

Leave a Reply