Lisdawati dan suaminya.

OLEH FAUZAN UDA AHMAD

 

PELAKON Lisdawati,41, memohon orang ramai agar tidak lagi menyimpan foto, majalah dan video lamanya dalam keadaan dirinya tidak menutup aurat.

Jika masih ingin menyimpannya, Lisdawati berharap bahagian tubuhnya yang terdedah dihitamkan. Lisdawati sudah berhijab sejak tahun 2013.

Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin berkata demikian dalam posting di instagramnya @lisdawati15, baru-baru ini.

Dalam akaun Instagramnya, Lisdawati memaparkan dua foto bersama tiga rakannya tetapi bahagian yang mendedahkan aurat sudah dihitamkan.

Lisdawati memohon semua pihak menghormati permintaannya agar tidak menyiarkan foto lama dirinya tanpa hijab.

Lisdawati berkata, dia sudah membuang dan membakar foto lama kerana tidak mahu menjadi dosa yang dibawa apabila sudah meninggal dunia.

Katanya, kesedaran ini timbul selepas mendengar ceramah seorang ustaz di kelas agama yang dihadiri. Sejak itu, dia membuang dan membakar semua foto lamanya yang tidak berhijab kecuali gambar perkahwinan sebagai kenangan.

Gambar lama yang mendedahkan aurat seperti rambut dihitamkan

Menurut Nisdawati, suaminya Fauzi Nawawi menyokong langkah itu dan ibunya turut gembira dengan keputusan itu.

Lisdawati berlakon dalam 13 buah filem bermula tahun 2000 hanya sebagai cameo dalam filem ‘Anaknya Sazali’ dan menjadi bintang utama dalam filem ‘KL Menjerit’ pada 2002.

Terakhir dia melakonkan watak Nurul Izzah Anwar dalam filem ‘Mahathir The Journey’ yang masih dalam proses pembikinan. Filem ini arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan.

Dia turut berlakon dalam puluhan drama sejak 2005 dengan drama pertama, ‘Aku dan Dia Cape Town’ dan terakhir pada 2020 dalam telefilem ‘Dia Terakhir’ siaran untuk TV3.
Lisdawati berkahwin dengan Fauzi Narawi pada 9 Jun 2009 dan dikurnia dua anak.

–BebasNews

Leave a Reply