fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR — Umat Islam di seluruh negara menyambut ketibaan 1 Syawal hari ini dalam kebiasaan baharu ketika negara masih berperang dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Aidilfitri yang kebiasaannya disambut meriah bagi meraikan kemenangan umat Islam berpuasa, kali ini diraikan penuh kesederhanaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, antaranya mengehadkan ziarah raya hanya pada hari pertama sahaja dan tiada ziarah kubur.

Beberapa negeri tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau, sekali gus menyaksikan ramai yang melaksanakan ibadah itu di rumah masing-masing bersama keluarga, manakala bagi negeri yang membenarkan solat sunat itu dilaksanakan, ia perlu mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

Petugas dan Pelatih Madrasah Darul Solihin Al Qadiri mendengar khutbah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan mengamalkan penjarakan sosial ketika tinjauan di Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam hari ini. Umat Islam kali ini menyambut hari lebaran dengan suasana yang berbeza apabila solat sunat Aidilfitri dilakukan di kediaman masing-masing ekoran penularan pandemik COVID-19.–fotoBERNAMA

Di SELANGOR, masjid dan surau lengang susulan arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan tetapi umat Islam tetap meneruskan ibadah itu di rumah masing-masing berpandukan kit solat dan khutbah hari raya yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM ).

KELUARGA Baba Abd Rahman (kiri) bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama anak, menantu serta cucunya ketika tinjauan di Kampung Bukit Besar hari ini. Sambutan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetap meriah meskipun sebahagian anak, menantu, cucu serta cicitnya tidak dapat pulang bagi menyambut perayaan tersebut. — fotoBERNAMA

Di TERENGGANU, larangan mengadakan solat sunat Aidilfitri di surau dan masjid di negeri ini tidak menghalang rakyat Terengganu untuk melakukan solat itu bersama keluarga di rumah malah meskipun terikat dengan PKPB, kemeriahan sambutan Aidilfitri tetap dirasai.

Mohd Zaideen Yusoff, 60, menganggap larangan itu membawa hikmah kerana beliau dapat bersolat hari raya berjemaah bersama keluarga mentuanya di Kampung Bukit Besar, di sini.

Di PERLIS, tiada solat sunat Aidilfitri dilakukan di masjid seluruh negeri, selain semua  kawasan tanah perkuburan umat Islam ditutup. Hanya ahli jawatankuasa kariah yang terpilih sahaja dibenarkan bertakbir raya mengikut panduan yang telah disediakan oleh Jabatan Mufti Perlis melalui corong-corong pembesar suara masjid bermula selepas solat Subuh sehingga 9 pagi.

KUANTAN – Muhamad Faiz Safwan Abdul Rahim, 34, membaca khutbah selepas solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumahnya di Kampung Sungai Isap, hari ini. –fotoBERNAMA

Di PAHANG, umat Islam kekal berada di kediaman masing-masing pagi ini ekoran keputusan kerajaan negeri Pahang supaya tidak diadakan solat  sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid pada tahun ini.

Di MELAKA, masjid-masjid negeri yang menjadi tumpuan terutama Masjid Al-Azim di Bukit Palah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri juga sunyi kerana tiada solat diadakan sebagai langkah mengekang penularan pandemik COVID-19.

Di SABAH, tinjauan mendapati Masjid Bandaraya dan Masjid Negeri Sabah lengang berbanding pada tahun-tahun lepas yang sentiasa sesak dan dipenuhi kenderaan jemaah yang datang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri susulan arahan umat Islam di negeri itu tidak dibenar mengadakan solat sunat itu di masjid.

GEORGE TOWN — Md Ferdaus Md Taib,48, (kiri) membantu meletakkan cecair pembasmi kuman pada tapak tangan adiknya Hafizah, 43, semasa mengunjungi rumah ibunya, Hajah Aishah Mohamad,80, bersama anak saudara mereka di Kampung Dodol, Jalan Perak sempena sambutan Aidilfitri di sini hari ini/fotoBERNAMA

Di PULAU PINANG, umat Islam terus mematuhi PKPB dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing berikutan arahan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebelum ini agar semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan solat sunat Aidilfitri.

Di KELANTAN, tinjauan mendapati solat sunat Aidilfitri yang diadakan di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot di sini pada 8.30 pagi hanya dihadiri oleh imam tua, imam muda, bilal dan siak tanpa kehadiran ahli jawatankuasa masjid mengikut SOP ditetapkan termasuk penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan.

IMAM Masjid Sultan Abu Bakar, Sabaruddin Zainon mengimamkan Solat Hari Raya Aidilfitri bersama sebelas orang jemaah dengan jarak sosial satu meter sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Masjid Sultan Abu Bakar hari ini. –fotoBERNAMA

Di JOHOR, solat kali ini di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru yang diimamkan oleh Imam Sabaruddin Zainon turut memperlihatkan penjarakan sosial diamalkan oleh semua 12 jemaah sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 12 jemaah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid hadir di Masjid Negeri, Seremban bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Negeri, Ahmad Rijal Ghazali berlangsung dengan penjarakan sosial dan tiada aktiviti bersalaman seperti  kelaziman.

IPOH — Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan (kanan) membaca khutbah bertajuk ‘Kegembiraan Dalam Kepayahan‘ selepas mengimamkan solat sunat Aidilfitri di rumahnya di Klebang Restu hari ini.
Menurut Syed yang merupakan Imam Masjid, tahun ini merupakan tahun pertama beliau dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya kerana kebiasaannya sebelum ini beliau mengimamkan jemaah yang menunaikan solat sunat aidilfitri di masjid.
–fotoBERNAMA

Di PERAK, solat sunat Aidilfitri diadakan di Pusat Penempatan Gelandangan Semasa COVID-19, di Arena Badminton Perak dan diimamkan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinta Kapten Muhammed Ameen Salleh Mura yang disertai 13 jemaah termasuk seorang gelandangan yang mengikuti SOP dengan menjaga penjarakan sosial.

Di KEDAH, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata jemaah yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di 576 masjid di negeri itu mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya mengamalkan penjarakan sosial ketika berada dalam masjid.

— BERNAMA 

Leave a Reply